Pemandu warga asing didakwa pandu melulu, sebabkan kematian penghantar makanan

24 Jul 2026, 7:55 AM
Pemandu warga asing didakwa pandu melulu, sebabkan kematian penghantar makanan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pemandu kereta warga Bangladesh yang tular dalam kes merempuh penghantar makanan sehingga maut ketika berhenti di lampu isyarat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas satu pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Pekerja kebun, Md Habibullah, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.

Mengikut pertuduhan, lelaki warga asing itu sebagai pemandu kereta jenis Nissan Almera didakwa memandu di jalan raya secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Jafni Baharudin, 29, di simpang empat lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam di sini pada jam 8.23 malam, 21 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan berkata, pihak pendakwaan tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin.

"Setakat ini tertuduh tidak berdepan sebarang pertuduhan lain mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika menjawab pertanyaan mahkamah, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, peguam, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi merayu supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin pada kadar minimum dengan alasan isterinya di Bangladesh baru melahirkan anak minggu lalu.

"Dia juga merupakan penanggung tunggal kepada ibu bapanya di kampung," katanya.

Seorang lagi peguam tertuduh, M Partiben berkata, anak guamnya bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Ameera Mastura membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan.

“Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan serta lesen memandunya digantung sehingga kes selesai,” katanya menambah sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September ini.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Partiben berkata, majikan anak guamnya akan membayar wang jaminan tersebut.

"Majikannya juga akan memastikan pekerja itu hadir ke mahkamah pada setiap sebutan kes dan mematuhi semua syarat tambahan yang ditetapkan.

“Ketika kejadian, anak guam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, jadi kami berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menilai fakta serta keterangan.

"Ini bukan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebaliknya anak guam didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kakak mangsa merayu bantuan orang ramai untuk mengesan pemilik rakaman kamera papan pemuka berhubung kemalangan yang meragut nyawa adik lelakinya.

Hantaran itu mendapat perhatian ramai termasuk rakan-rakan Allahyarham yang berkongsi kenangan dan memuji keperibadian mangsa ketika hayatnya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.