SHAH ALAM, 17 OKT: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan bahawa setiap kebebasan yang diperoleh datang bersama dengan tanggungjawab, justeru rakyat perlu menggunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.
Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah demikian susulan terdapat sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut, menimbulkan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat.
“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang. Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.
“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM, turut berangkat ke istiadat konvokesyen itu.
Sultan Ibrahim bertitah rakyat disaran agar tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar dan video palsu dengan niat menghina atau memalukan seseorang.
Titah Seri Paduka Baginda, di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu, ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan.
“Dari kecil kita diajar tentang adab untuk menghormati orang tua, tertib dalam berbicara, dan tidak memandang rendah antara agama dengan bangsa kerana sesungguhnya, adab bukan sekadar bersopan santun, tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara.
“Namun, dalam kemajuan dunia digital dan media sosial pada hari ini, ada yang telah lupa adab dan bebas untuk menghina, mencaci, memaki hamun dan menjatuhkan maruah orang lain,” titah Seri Paduka Baginda.
Sehubungan dengan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar rakyat tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita sebelum memastikan kesahihannya.
“Jangan kerana mahu menjadi orang pertama yang berkongsi sesuatu yang belum pasti, akhirnya kita menjadi orang yang menyebarkan fitnah dan kebencian.
“Saya mahu melihat kita menjadi sebuah masyarakat yang matang dalam berkomunikasi, bebas bersuara dengan penuh adab, berani memberikan pandangan, tetapi tidak menghina dan tegas mempertahankan pendirian tanpa menanam kebencian,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim turut berkenan kampus UiTM di Jalan Othman, Petaling Jaya, dinamakan "Kampus Tun Arshad Ayub" sebagai menghargai jasa dan sumbangannya yang telah menerajui penubuhan dan pembangunan UiTM sejak 1965.
Allahyarham Arshad yang meninggal dunia pada 2022, merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak 1967 hingga 1975, sebelum dikenali sebagai UiTM dan dianggap sebagai pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di institusi itu.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan, ibu bapa dan seluruh warga universiti atas kejayaan serta berharap UiTM akan terus maju dalam melahirkan anak bangsa yang berjaya demi kemajuan negara.
Terdahulu, istiadat konvokesyen itu yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin menyaksikan 32,630 graduan menerima diploma serta ijazah dalam pelbagai bidang bermula hari ini hingga 16 Disember ini.
UiTM turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Roziah Mohd Janor yang merupakan bekas Naib Canselor wanita pertama UiTM.










