SHAH ALAM, 1 OKT: Seorang penghantar makanan yang tular susulan insiden motosikal merempuh pelajar sekolah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kecederaan.
Tertuduh, Muhammad Haziq Izzuddin Ruslan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Haziq didakwa menunggang motosikal sehingga menyebabkan kemalangan terhadap seorang pejalan kaki.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Persiaran Saujana 4, Sungai Buloh pada jam 12.08 tengah hari, 28 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi memohon jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung ibu bapa yang tidak bekerja.
“Tertuduh bekerja sebagai penghantar makanan dan masih bujang. Tertuduh ketika ini hanya mampu membayar jaminan RM2,000 dan adiknya hadir sebagai penjamin,” katanya, lapor Harian Metro.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali. Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 November ini.
Terdahulu, tular video memaparkan penunggang motosikal merempuh pelajar perempuan yang sedang melintas di laluan pejalan kaki di Jalan Persiaran Saujana 4, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Sungai Buloh.
Akibat perlanggaran itu, pelajar terbabit terpelanting manakala penunggang motosikal hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.






