Didik anak dengan kasih sayang, bukan terlalu mudah menghukum

5 Okt 2026, 10:00 AM
Didik anak dengan kasih sayang, bukan terlalu mudah menghukum
Didik anak dengan kasih sayang, bukan terlalu mudah menghukum

SHAH ALAM, 5 OKT: Pendekatan mendidik anak perlu berteraskan keseimbangan kasih sayang dan kawalan selain mengambil kira aspek emosi serta keperluan setiap anak bagi mewujudkan hubungan kekeluargaan lebih erat.

Kaunselor berdaftar dan pendakwah bebas Hushim Salleh berkata ibu bapa perlu memahami perbezaan karakter dan kelebihan anak bagi memastikan setiap daripada mereka mendapat perhatian sewajarnya.

“Kita (ibu bapa), jangan jadi ibu bapa yang terlalu mudah menghukum anak-anak, sebaliknya jadilah kawan kepada anak-anak kita,” katanya dalam sesi perkongsian Forum OHSEM bertajuk Satu Pilihan, Sejuta Kesan di Management and Science University (MSU), di sini, pada 3 Oktober.

Menurut Hushim, ibu bapa juga disaran meluangkan masa berkualiti bersama anak terutama ketika kesibukan bekerja menyebabkan interaksi dalam keluarga semakin berkurangan.

“Ibu bapa yang sibuk bekerja mesti berusaha cari ruang melakukan aktiviti bersama anak-anak, termasuk menyediakan makanan bersama.

"Mereka juga boleh membina hubungan dengan anak melalui sentuhan fizikal dan emosi seperti pelukan serta memberi perhatian ketika berkomunikasi,” katanya.

Tambah beliau, golongan bapa perlu memainkan peranan sebagai imam dan pemimpin keluarga termasuk membimbing anak dari aspek agama seperti ajaran Rasulullah SAW.

Sementara itu, Kaunselor Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana Farah Wahida Ahmad Faridun menggariskan empat gaya keibubapaan yang membantu membentuk cara anak membesar.

“Pertama, gaya autoritarian yang dicirikan sebagai gaya tinggi kawalan tetapi rendah kasih sayang, di mana anak-anak perlu mengikut peraturan tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Menurutnya, gaya permisif pula terlalu mengikut kehendak anak tanpa batasan sehingga boleh menyebabkan mereka menjadi impulsif dan mudah memberontak, manakala gaya pengabaian mempunyai tahap kawalan serta kasih sayang rendah sehingga anak menjadikan individu lain sebagai idola.

Beliau berkata gaya autoritatif pula menggabungkan kawalan dan kasih sayang yang tinggi dengan ibu bapa menetapkan peraturan tegas serta jelas, pada masa sama memberikan sokongan dan dorongan kepada anak.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.