SHAH ALAM, 24 JULAI: Minat golongan muda terhadap proses pentadbiran dan pembentukan dasar negeri dapat dilihat menerusi pelbagai persoalan yang dibangkitkan pelajar ketika sesi Dialog x Jelajah Suara Belia Selangor bersama Kolej Tingkatan 6 Shah Alam, semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata beliau kagum dengan keterbukaan peserta yang mengambil peluang untuk memahami peranan wakil rakyat, sistem pentadbiran serta ruang yang boleh disertai anak muda dalam pembangunan negeri.
Menurutnya, antara persoalan yang dikemukakan pelajar termasuk pengalaman beliau menceburi bidang politik, persediaan untuk menjadi pemimpin, peluang belia terlibat dalam proses membuat dasar serta sumbangan mereka terhadap agenda inklusiviti.

“Inilah jenis dialog yang kita perlukan. Bukan sekadar mendengar ceramah, tetapi ruang untuk bertanya, mencabar idea dan memahami bagaimana kerajaan berfungsi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Danial berkata maklum balas peserta selepas sesi itu turut menunjukkan mereka semakin memahami peranan Ahli Dewan Negeri, sistem pentadbiran Negeri Selangor serta fungsi legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Katanya, ada peserta turut mencadangkan supaya sesi soal jawab dipanjangkan kerana masih banyak persoalan yang ingin dibincangkan.
“Apabila peserta meminta lebih banyak masa untuk berdialog, ia menunjukkan mereka benar-benar berminat untuk memahami isu-isu yang dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata literasi politik perlu dipupuk sejak di bangku sekolah dan kolej kerana anak muda bukan sekadar pewaris masa depan, malah mempunyai peranan dalam membentuk dasar pada masa kini.
“Kerajaan dan wakil rakyat perlu sentiasa membuka ruang kepada belia untuk terlibat secara berterusan, bukan hanya ketika pilihan raya,” katanya.
Danial berkata beliau sentiasa terbuka untuk turun berdialog di sekolah, kolej atau universiti bagi memberi peluang kepada anak muda menyuarakan pandangan serta memahami dengan lebih dekat proses pentadbiran kerajaan.







