SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor dicadang menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi secara tahunan dan berperingkat bagi memastikan nilai ekonomi RM600 bilion mampu dicapai menjelang 2030.
Wakil rakyat Batu Tiga berkata langkah itu penting bagi menilai keberkesanan pelan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dan mengenal pasti langkah penambahbaikan jika tidak mencapai sasaran.
Danial Al-Rashid Haron turut berpandangan sektor perdagangan dan eksport antara faktor yang boleh membantu Selangor mencapai sasaran tersebut berdasarkan nilai tahunan yang direkodkan.
“Merujuk rekod Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), nilai eksport yang dijana syarikat beroperasi di Selangor sekitar RM273 bilion sehingga 2025, meningkat kira-kira 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan Selangor mempunyai asas eksport sangat besar, tetapi masih banyak ruang dan platform untuk diperluaskan melalui promosi perdagangan, padanan pasaran antarabangsa serta sokongan lain kepada syarikat tempatan,” katanya di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Pada masa sama, Danial berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang berjaya mencapai kira-kira 79 peratus sasaran membuktikan Selangor mempunyai asas pentadbiran dan pelaksanaan yang baik.
“Namun, lima tahun akan datang memerlukan kita melakukan lebih daripada apa yang kita lakukan lima tahun sebelumnya kerana cabaran yang akan kita hadapi juga semakin kompleks,” katanya lagi.
Minggu lalu, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan RS-2 yang menggariskan enam misi dalam 25 bidang dengan sasaran nilai ekonomi RM600 bilion untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Kerajaan Negeri turut menggariskan lima sektor yang akan menjadi tumpuan ke arah 2030 iaitu elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.







