SHAH ALAM, 2 OKT: Seramai 24 graduan orang kurang upaya (OKU) disaring sebagai calon berkelayakan untuk dipadankan dengan peluang pekerjaan menerusi Projek Rintis Sokongan Penempatan Graduan Profesional OKU (BRIDGE-OKU Profesional).
Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron berkata jumlah itu dipilih daripada 30 peserta yang menyertai program berkenaan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurutnya, pemilihan dibuat berdasarkan kelayakan serta latar belakang pendidikan dengan calon mempunyai kelulusan daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) setaraf diploma, diploma hingga ijazah dalam pelbagai bidang.
“Daripada 24 (peserta) itu, kita nak tempatkan dulu mungkin dalam 10 orang sahaja sebagai permulaan atau perintis bagi program BRIDGE-OKU Professional dengan kerjasama UPM ini.
“Setakat ini kita ada 15 anak syarikat yang menunjukkan minat dan akan meneliti senarai calon berkenaan sebelum membuat pemilihan berdasarkan kekosongan jawatan dan kelayakan latar belakang pendidikan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurut Danial, sasaran penempatan awal itu dijangka dapat direalisasikan sebelum hujung tahun ini tertakluk kepada proses pemilihan dan kekosongan jawatan yang ditawar oleh majikan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara cabaran yang sering dihadapi pekerja OKU adalah disebabkan kekurangan sistem sokongan di tempat kerja termasuk daripada rakan sekerja, penyelia dan pihak sumber manusia.
“Menerusi program (BRIDGE-OKU Professional) ini kita ada graduan baharu dan juga yang pernah ada pengalaman dalam dunia pekerjaan, mungkin di tempat yang sebelum ini dia tidak kekal lama kerana tiada sistem sokongan,” katanya.
Justeru, katanya, persediaan majikan juga perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan mereka memahami keperluan pekerja OKU serta mampu menyediakan persekitaran kerja yang sesuai.
Bagi memastikan penempatan itu berjalan lancar, beliau berkata UPM juga akan menyediakan khidmat ‘job coaching’ secara berkala dengan pemantauan dibuat selepas peserta mula bekerja.
Menurutnya, MTOS turut menyasarkan pemantauan terhadap pekerja OKU yang ditempatkan sehingga tempoh enam bulan bagi melihat kemampuan mereka menyesuaikan diri dan kekal dalam pekerjaan.
“Kita akan sediakan khidmat ‘job coaching’ dengan pemantauan secara berkala di tempat kerja, mungkin seminggu sekali atau dua kali, bagi memastikan peserta dan majikan dapat memberikan maklum balas sepanjang tempoh penempatan,” katanya.








