Tekanan air rendah, hampir 60 pili bomba di Padang Jawa diberi perhatian

20 Okt 2026, 1:15 PM
Tekanan air rendah, hampir 60 pili bomba di Padang Jawa diberi perhatian
Tekanan air rendah, hampir 60 pili bomba di Padang Jawa diberi perhatian
Tekanan air rendah, hampir 60 pili bomba di Padang Jawa diberi perhatian

SHAH ALAM, 20 OKT: Isu tekanan air rendah dan penyelenggaraan hampir 60 pili bomba di Kampung Padang Jawa diberi perhatian bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi risiko kebakaran di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berkata perkara itu dibincangkan bersama agensi berkaitan susulan kebimbangan terhadap kedudukan sebahagian rumah penduduk yang agak rapat, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran.

Menurutnya, aspek penyelenggaraan pili bomba perlu diberi perhatian bagi memastikan kemudahan berkenaan sentiasa berfungsi dan boleh digunakan ketika kecemasan.

"Selain isu tekanan air, turut dibincangkan aspek penyelenggaraan hampir 60 pili bomba di sekitar Padang Jawa supaya setiap satu berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan.

"Kesiapsiagaan kebakaran tidak boleh bergantung kepada tindakan selepas kejadian berlaku semata-mata. Kita perlu pastikan infrastruktur berfungsi, komuniti bersedia dan semua pihak tahu peranan masing-masing," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Susulan itu, Danial memaklumkan pihaknya turut mempertimbangkan cadangan daripada Ketua Balai Bomba Shah Alam untuk menubuhkan sebuah pasukan komuniti sukarelawan setempat.

Jelasnya, inisiatif berkenaan bertujuan memperkasa peranan penduduk dalam aspek kesiapsiagaan awal, pemantauan berkala terhadap fasiliti keselamatan, selain bertindak memberi bantuan sokongan sementara menunggu kehadiran jentera bomba ke lokasi.

Sesi pertemuan tersebut turut dihadiri wakil Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Muhammad Firdaus serta ketua kampung.

Danial berharap perbincangan itu dapat diterjemahkan kepada tindakan susulan yang pantas dan berkesan demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan seluruh penduduk Kampung Padang Jawa.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.