10 anak muda Selangor berpeluang dalami ilmu Islam bersama Sheikh Akram Nadwi

24 Jul 2026, 1:54 AM
10 anak muda Selangor berpeluang dalami ilmu Islam bersama Sheikh Akram Nadwi

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 10 pelajar dan mahasiswa berpeluang mengikuti The Hikmah Exclusive Retreat di Auditorium Muzium Kesenian Islam Malaysia secara tajaan khas bagi mendalami ilmu Al-Quran, hadis dan sirah bersama ilmuwan Islam, Sheikh Akram Nadwi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata tajaan itu terbuka kepada anak Selangor atau pelajar yang sedang menuntut di institusi pengajian di negeri ini yang berminat mendalami ilmu Islam serta bersedia mengikuti keseluruhan program selama tiga hari mulai hari ini.

“Kita beruntung kerana ramainya ilmuwan Islam yang bertandang ke negara kita untuk pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan dan juga pihak lain.

“Tahun lalu Sheikh Akram Nadwi hadir ke Festival Turath Islam yang dianjurkan oleh Kerajaan Selangor dan Alhamdulillah pada tahun ini sekali lagi beliau hadir untuk program khusus anjuran Al-Salam Institute dengan kerjasama Tafsir.my dan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE),” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Amirudin, program itu merupakan peluang berharga kepada peserta untuk mendapatkan pengenalan serta pendedahan terhadap teras ilmu Islam yang meliputi al-Quran, hadis dan sirah menerusi bimbingan secara langsung daripada Sheikh Akram.

Sheikh Akram Nadwi merupakan bekas Research Fellow di Oxford Centre for Islamic Studies dan pernah melalui tradisi pendidikan Nadwatul Ulama di India.

Program berkenaan menghimpunkan tujuh sesi intensif selama tiga hari dengan pengisian utama meliputi tadabbur al-Quran, pengajian Surah Ibrahim serta penghayatan hadis dan sirah Rasulullah SAW.

Antara fokus pengisian ialah memahami prinsip tadabbur al-Quran, kupasan berkaitan kepimpinan, etika dan hikmah peradaban menerusi sirah Rasulullah SAW.

Mereka yang berminat boleh menghubungi pihak penganjur di talian 017-208 4915 (Iman) untuk maklumat lanjut. Penyertaan adalah terhad kepada 10 peserta terawal.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.