HULU LANGAT, 24 OKT: Kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang menjadi identiti Malaysia perlu terus dipelihara demi memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat kekal utuh, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, rakyat perlu menghormati kedudukan setiap kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping memahami keunikan identiti masing-masing dalam kehidupan bermasyarakat.
Menurutnya, kebanggaan terhadap agama, bangsa dan latar belakang sendiri tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membina negara yang aman dan bersatu padu.
“Bila di luar negara, kita bersatu menyokong, contohnya ada atlet menang, kita bersorak bersama. Tapi bila dalam negara, yang dibakar perbezaan antara kaum yang sedikit sebanyak merosak.
“Sebab itulah kita kena fokus untuk menghidupkan diri kita. Kita sedar tentang jati diri kita, kita faham tentang latar belakang kita, kita bangga dengan kelahiran kita orang Melayu dan Islam, saya bangga. Ada orang India dia bangga, ada yang Cina dia bangga.
“Tapi dalam masa yang sama kita harus sedar, kita hidup bersama sebagai sebuah masyarakat, ada jaminannya dalam Perlembagaan, ada kedudukannya dalam Perlembagaan yang wajar dihormati dan selama ini kita hormati.
“Sebab itulah, jangan mudah terikut-ikut. Siapa pun yang tadbir Malaysia, akhirnya akan ikut jalan ini. Kalau siapa yang membawa jalan lain, sebenarnya dia akan mengundang masalah besar di sebuah negara yang rancak,” katanya ketika berucap merasmikan Program MADANI Kita@Sungai Ramal di sini, hari ini.
Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi itu menarik kehadiran lebih 4,000 pengunjung dengan penyertaan 34 agensi dan rakan strategik yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.
Antara perkhidmatan disediakan meliputi kebajikan, kesihatan, pendidikan, ekonomi, keselamatan, pendigitalan serta kesejahteraan masyarakat.
Amirudin turut mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan kandungan media sosial yang boleh mencetuskan kemarahan, menimbulkan rasa tidak yakin dan menjejaskan hubungan antara masyarakat.
Katanya, keutamaan perlu diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah negara dan memperkukuh perpaduan, bukannya saling menyalahkan atau memburukkan pihak lain sehingga mencetuskan perpecahan.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk terus maju, namun kejayaan itu bergantung kepada keyakinan rakyat dan kesediaan semua pihak untuk bekerjasama dalam menghadapi cabaran.
“Sepatutnya warga kita, rakyat kita jadi orang yang yakin, orang yang yakin untuk berdepan dengan cabaran luar,” katanya.











