SHAH ALAM, 24 JULAI: Tindakan berbahaya dua penunggang motosikal melakukan aksi 'superman' di Kilometer 407.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di Hulu Selangor, berakhir apabila mereka diberkas polis selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.06 petang kelmarin sebelum siasatan dijalankan.
Menurut beliau, aksi itu turut dirakam pengguna jalan raya lain sebelum video berkenaan dimuat naik ke aplikasi TikTok dan menjadi tular.
Katanya, video tersebut memaparkan dua penunggang iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an melakukan aksi berbahaya dengan cara meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang.
"Video itu memaparkan dua penunggang iaitu lelaki dan perempuan berusia lingkungan 20-an melakukan aksi berbahaya dengan cara meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang," katanya, lapor Harian Metro.
M Manimaran berkata, hasil tindakan polis, kedua-dua individu terbabit berjaya dikesan dan ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, mereka kemudian dibawa ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.







