SHAH ALAM, 5 NOV: Polis menafikan dakwaan tular kononnya seorang remaja perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah di Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata siasatan mengesahkan tiada kejadian seumpama itu berlaku di mana-mana pusat beli-belah sekitar daerah berkenaan.
Menurutnya, polis mengesan hantaran tular di media sosial yang menyebarkan dakwaan tidak benar itu sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai.
“Siasatan yang dijalankan mengesahkan bahawa tiada sebarang kejadian sedemikian berlaku di mana-mana pusat beli-belah di sekitar daerah Kajang,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata pihaknya menerima satu laporan polis berhubung hantaran Facebook oleh akaun 'Luahan Rakyat Malaysia' pada 4 November, kira-kira jam 7.50 malam.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 233, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Seksyen 505(b) memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
“Tindakan tegas di bawah undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu tanpa menyemak kesahihannya sehingga menimbulkan kegusaran dan ketakutan orang awam,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan dinasihatkan merujuk saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.







