SHAH ALAM, 25 NOV: Video memaparkan beberapa individu dipercayai warga asing menaiki lori sampah sambil membawa beg yang tular di media sosial dipercayai rakaman setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata pihaknya mengesan video berdurasi 34 saat itu yang dimuat naik menerusi akaun Threads nyzamferiy, semalam, lapor Berita Harian.
Video itu memaparkan beberapa individu dipercayai warga asing menaiki sebuah lori sampah sambil membawa beg, sekali gus mencetuskan persoalan orang ramai mengenai tujuan penggunaan kenderaan berkenaan serta kemungkinan wujud unsur penyeludupan.
"Hasil siasatan mendapati individu yang dipaparkan adalah pekerja pembersihan sampah di sebuah syarikat yang sudah berpindah ke Kajang kira-kira setahun lalu susulan tamatnya kontrak perkhidmatan pembersihan pada penghujung Disember 2025.
"Kejadian sama juga pernah tular menerusi aplikasi TikTok kira-kira setahun lalu," katanya.
Norhizam berkata semakan lanjut mendapati papan tanda premis yang kelihatan dalam video itu merupakan papan tanda lama, manakala premis berkenaan kini disewakan kepada pihak lain.
Berdasarkan siasatan awal, polis percaya video berkenaan bukan rakaman kejadian baharu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) menerusi talian 03-87774484 atau mana-mana balai polis berhampiran.







