Kerajaan pergiat langkah intervensi tangani kesihatan mental penjawat awam

23 Jul 2026, 7:21 AM
Kerajaan pergiat langkah intervensi tangani kesihatan mental penjawat awam

SEREMBAN, 23 JULAI: Kerajaan mempergiat langkah intervensi awal bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam selepas kajian MyPsych mengenal pasti lebih 40,000 penjawat awam mempunyai kecenderungan ke arah tingkah laku negatif termasuk cubaan membunuh diri.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata susulan itu, ketua jabatan dimaklumkan supaya bekerjasama dengan pegawai psikologi bagi melaksanakan intervensi awal terhadap individu yang dikenal pasti berisiko.

“Langkah intervensi dilaksanakan sesegera mungkin di setiap jabatan dan kementerian...kita bimbang apabila perkara ini tidak ditangani dengan segera, ia boleh merebak dan akhirnya berlaku perkara tidak diingini.

“Bagi saya, perkara ini perlu ditangani sebaik mungkin supaya pegawai kita bebas daripada isu kesihatan mental dan dapat terus memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Aspirasi Perkhidmatan Awam MADANI Negeri Sembilan Siri 2 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan bukan sahaja memberi perhatian kepada individu berdepan masalah malah turut menilai faktor organisasi seperti persekitaran dan budaya kerja yang mungkin menyumbang kepada tekanan.

Sehubungan itu, beliau berkata program Happy at Work diperkenalkan bagi menggalakkan ketua jabatan mewujudkan suasana kerja lebih kondusif dan menyeronokkan, sekali gus membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.

Beliau berkata walaupun hasil tinjauan terkini menunjukkan terdapat sedikit peningkatan dalam bilangan penjawat awam yang dikenal pasti berisiko, pihaknya yakin langkah intervensi segera termasuk sesi kaunseling secara individu oleh pegawai psikologi dapat membantu menangani isu berkenaan.

Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan dalam ucapannya menyeru penjawat awam meningkatkan produktiviti, komitmen dan budaya kerja berprestasi tinggi bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat diterjemahkan secara pantas serta berkesan demi memenuhi aspirasi Malaysia MADANI.

Katanya timbal balas yang dituntut daripada seluruh warga perkhidmatan awam susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan kerajaan ialah peningkatan prestasi di samping menyahut Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam secara lebih agresif.

Beliau berkata rakyat kini mahukan urusan yang lebih cepat, mudah, telus dan mesra pelanggan, justeru reformasi perkhidmatan awam bukan lagi satu pilihan, sebaliknya suatu kemestian dan rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan urusan kaunter yang berulang-alik dan tempoh menunggu lama.

“Bagi menyahut cabaran tersebut, kerajaan telah memberi mandat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerajui langkah progresif untuk membangunkan Akta ILTIZAM Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867),” katanya.

Beliau turut berkata pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa melaksana inisiatif luar biasa dalam menjaga kebajikan pegawai perkhidmatan awam termasuk penyediaan kemudahan skim pinjaman komputer peribadi dan kenderaan tanpa faedah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.