Bagi kebanyakan orang, tempat kerja ialah lokasi yang paling lama didiami selepas rumah. Lapan jam sehari. Lima hari seminggu. Ada yang lebih.
Persoalannya, adakah kita datang bekerja dengan hati yang gembira atau sekadar memenuhi rutin?
Ramai menganggap kegembiraan di tempat kerja sebagai satu bonus. Hakikatnya, ia merupakan keperluan.
Pekerja yang gembira bukan sahaja lebih bersemangat, malah lebih kreatif, lebih komited dan lebih bersedia memberikan yang terbaik.
Sebab itu, organisasi yang benar-benar ingin berjaya tidak hanya mengurus prestasi. Mereka turut mengurus kesejahteraan manusia.
Laporan State of the Global Workplace 2026 oleh Gallup menunjukkan hanya sekitar satu daripada lima pekerja di seluruh dunia benar-benar berasa terlibat dengan pekerjaan mereka.
Selebihnya hadir bekerja, tetapi tidak benar-benar hadir dari segi emosi dan motivasi. Keadaan ini bukan sekadar menjejaskan individu. Ia memberi kesan kepada produktiviti, inovasi dan prestasi organisasi.
Dalam masa yang sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kemurungan dan keresahan menyebabkan kira-kira 12 bilion hari bekerja hilang setiap tahun di seluruh dunia.
Di sebalik angka itu, terdapat jutaan manusia yang datang bekerja sambil memikul tekanan yang tidak kelihatan.
Budaya kerja yang membentuk semangat
Kadangkala puncanya bukan kerana beban kerja semata-mata. Sebaliknya, kerana mereka bekerja dalam suasana yang membuatkan mereka berasa tidak dihargai, budaya pilih kasih, komunikasi yang kasar dan sikap saling menyalahkan.
Atau sekadar seorang ketua yang tidak pernah bertanya, "Apa khabar hari ini?"
Perkara-perkara kecil seperti inilah yang perlahan-lahan menghakis semangat seseorang. Sebaliknya, penghargaan yang ikhlas, komunikasi yang baik dan hubungan yang saling menghormati mampu menjadikan tempat kerja lebih bermakna.
Tidak semua kegembiraan boleh dibeli dengan gaji yang tinggi. Kadangkala, pekerja hanya mahu didengari, mahu dihargai dan mahu merasakan bahawa kehadiran mereka benar-benar membawa makna kepada organisasi.
Dalam Islam, pekerjaan bukan sekadar mencari nafkah. Ia adalah amanah.
Apabila seseorang melihat pekerjaannya sebagai ibadah, setiap tugasan tidak lagi dirasakan sebagai beban semata-mata. Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain dan memperoleh keredaan Allah SWT.
Rasulullah SAW juga mengajar agar setiap pekerjaan dilakukan dengan sebaik-baiknya.
Nilai itqan bukan sekadar menghasilkan kerja yang berkualiti. Ia melahirkan kepuasan terhadap apa yang dilakukan.
Seimbangkan kerjaya dan kehidupan
Dalam dunia hari ini, satu lagi cabaran semakin ketara. Sempadan antara tempat kerja dan kehidupan peribadi semakin kabur.
Telefon pintar, aplikasi pesanan dan e-mel menjadikan kita sentiasa boleh dihubungi. Akhirnya, waktu rehat turut dipenuhi dengan urusan pejabat.
Sedangkan setiap manusia memerlukan ruang untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga dan mengembalikan tenaga sebelum kembali menyumbang dengan lebih baik.
Menghormati waktu rehat bukan tanda kurang komited. Sebaliknya, itulah asas kepada keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.
Apabila pekerja diberi ruang untuk menjaga kesejahteraan diri, mereka akan kembali bekerja dengan emosi yang lebih stabil dan motivasi yang lebih tinggi.
Usaha membina tempat kerja yang menggembirakan juga selari dengan aspirasi Selangor Sejahtera yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
Pembangunan tidak hanya diukur melalui angka ekonomi. Ia turut diukur melalui manusia yang membangunkannya.
Pada akhirnya, kegembiraan di tempat kerja bukan bermaksud seseorang tidak pernah berdepan tekanan. Sebaliknya, ia bermaksud hadir bekerja dalam suasana yang membuatkan kita berasa dihargai, dipercayai dan mempunyai tujuan.
Kerana apabila seseorang datang bekerja dengan hati yang tenang, dia bukan sahaja menghasilkan kerja yang lebih baik.
Dia juga pulang sebagai insan yang lebih bahagia.Penulis,
Norashikin binti Azmi merupakan Pegawai Tadbir Universiti Islam Selangor (UIS).







