JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam

14 Sep 2026, 6:27 AM
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengkaji inisiatif bagi menambah baik aspek pendapatan penjawat awam di negara ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata gaji penjawat awam ketika ini tidak berada di bawah paras kemiskinan dan mereka dinasihatkan supaya bijak merancang perbelanjaan.

“Pada pandangan saya, penjawat awam dengan gaji yang ada sekarang ini tidak berada di bawah paras kemiskinan, cuma tinggal lagi bagaimana penjawat awam itu sendiri merancang perbelanjaan.

“Pada masa sama, kami juga sedang mengkaji perkara-perkara yang boleh memberikan ataupun menambah baik pendapatan penjawat awam,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam Tahun 2026 di sini hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata ketika ini, penyelarasan gaji penjawat awam telah dilaksanakan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan segala inisiatif baharu tertakluk kepada kemampuan kewangan negara.

SSPA yang mula berkuat kuasa pada 1 Dis 2024 adalah inisiatif besar kerajaan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Ia diperkenalkan sebagai reformasi dalam perkhidmatan awam untuk meningkatkan motivasi kakitangan melalui struktur gaji yang lebih kompetitif serta penilaian prestasi yang lebih adil dan telus.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.