SHAH ALAM, 14 JULAI: Semua murid sekolah perlu diwajibkan menjalani sekurang-kurangnya satu sesi kaunseling atau pemeriksaan psikologi setiap tahun bagi mengesan lebih awal masalah kesihatan mental, tekanan emosi dan kecenderungan tingkah laku agresif.
Pakar psikologi dan kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata pendekatan itu penting kerana khidmat kaunseling ketika ini lebih banyak dimanfaatkan oleh murid yang sedar mereka memerlukan bantuan, sedangkan masih ramai murid berisiko tidak tampil secara sukarela.
Menurutnya, pelaksanaan secara penggiliran membolehkan setiap murid menjalani penilaian sekurang-kurangnya sekali setahun sebelum dikenal pasti sama ada memerlukan intervensi atau pemantauan lanjut.
"Kita kena mewajibkan sekurang-kurangnya sekali setahun semua pelajar pergi sesi kaunseling. Kalau ada 200 pelajar, buat secara penggiliran. Jika dikenal pasti ada masalah, barulah dibuat sesi lanjutan," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata saringan kesihatan mental sedia ada seperti soal selidik wajar diteruskan, namun ia tidak wajar menjadi satu-satunya kaedah penilaian kerana terdapat murid yang mampu memanipulasi jawapan.
Sebaliknya, beliau mencadangkan guru dan kaunselor menggunakan gabungan beberapa pendekatan seperti temu bual, pemerhatian tingkah laku, analisis rekod murid serta aktiviti seperti lukisan projektif bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan psikologi seseorang murid.

Menurutnya, maklumat daripada rakan sebaya juga penting kerana mereka lazimnya menjadi individu pertama yang menyedari perubahan tingkah laku seseorang.
"Sebab itu peranan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sangat penting. Mereka boleh memaklumkan kepada guru sekiranya mendapati rakan mereka mula menunjukkan tanda-tanda seperti mencederakan diri sendiri atau perubahan tingkah laku membimbangkan.
"Hubungan yang rapat antara guru dan murid sangat penting. Apabila murid percaya kepada guru, mereka akan datang sendiri berkongsi masalah sebelum keadaan menjadi lebih serius," katanya.
Mohammad Aziz berkata antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah kesedihan berpanjangan, kebimbangan melampau, kemarahan yang sukar dikawal, kecenderungan mencederakan diri sendiri, pemikiran untuk mencederakan orang lain serta simptom halusinasi atau delusi.
Beliau menegaskan kebanyakan krisis kesihatan mental tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berkembang dalam tempoh yang panjang sebelum mencapai tahap kritikal.
"Seseorang murid yang bertindak di luar kawalan sehingga mencederakan orang lain atau membunuh diri bukan berubah dalam sehari atau seminggu. Tanda-tanda awal sebenarnya telah lama dipendam dan jika tidak ditangani, ia akan menjadi semakin serius sebelum akhirnya meletus.
"Lebih baik kita mencegah daripada merawat. Apabila kes sudah kronik, proses intervensinya mengambil masa yang jauh lebih panjang," katanya.
Beliau turut memuji usaha Kerajaan Selangor yang giat melaksanakan pelbagai program advokasi berkaitan buli dan kesihatan mental di sekolah.
Menurutnya, inisiatif sedemikian perlu diteruskan secara konsisten kerana mampu membina budaya saling membantu, meningkatkan empati serta menggalakkan murid mendapatkan bantuan apabila berdepan tekanan atau menjadi mangsa buli.
"Syabas kepada Selangor. Itulah pendekatan yang perlu diteruskan.
"Ramai kata program anti-buli dibuat setiap tahun tetapi kes masih berlaku. Bagi saya, sebab itulah program itu perlu diteruskan. Kalau kita berhenti melaksanakannya, keadaan mungkin menjadi lebih buruk.
"Program kesedaran perlu sampai ke hati, bukan sekadar memberi pengetahuan. Apabila disampaikan dengan kasih sayang dan diperkukuhkan secara berterusan, barulah perubahan tingkah laku boleh berlaku," ujarnya.








