Guru perlu ubah pendekatan didik murid era digital, kata pakar

15 Jul 2026, 1:00 AM
Guru perlu ubah pendekatan didik murid era digital, kata pakar
Guru perlu ubah pendekatan didik murid era digital, kata pakar

SHAH ALAM, 15 JULAI: Guru perlu mengubah pendekatan mendidik selaras dengan cabaran murid pada era digital dengan memberi penekanan kepada hubungan emosi, kasih sayang dan kefahaman terhadap psikologi mereka.

Pakar psikologi dan kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata kaedah pendidikan yang berkesan beberapa dekad lalu tidak lagi boleh diaplikasikan sepenuhnya kerana persekitaran serta cabaran dihadapi murid hari ini jauh berbeza.

"Macam kata Nabi Muhammad SAW, hiduplah di zaman kamu, jangan hidup di zaman aku. Hiduplah di zaman kamu. Zaman berubah, setiap masa berubah. Kita tidak boleh lagi mengatakan guru dahulu lebih sabar atau murid dahulu berbeza kerana itu zaman dahulu. Zaman sekarang sudah berubah.

"Kita hidup di zaman kita. Dulu tidak ada telefon pintar dan media sosial. Hari ini murid membesar dengan teknologi, jadi pendekatan mendidik juga perlu berubah mengikut keperluan semasa," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata walaupun guru berdepan beban tugas yang semakin meningkat, mereka tetap perlu membina hubungan emosi yang rapat dengan murid agar pelajar berasa dihargai serta mempunyai individu yang boleh dipercayai ketika berdepan masalah.

Menurutnya, hubungan yang baik antara guru dan murid mendorong pelajar lebih terbuka berkongsi tekanan yang dihadapi, sekali gus memudahkan pengesanan awal isu psikologi.

Pakar psikologi dan kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip.

"Guru bukan sekadar mengajar akademik, tetapi turut membimbing emosi dan sahsiah. Jika pelajar tidak memberi salam, guru yang perlu memberi salam terlebih dahulu. Itulah peranan seorang pendidik," katanya.

Mohammad Aziz berkata guru juga perlu mengelakkan sikap cepat menghukum atau melabel murid kerana setiap tingkah laku mempunyai punca yang perlu difahami, bukannya terus dipersalahkan.

"Apa yang kita harapkan daripada kanak-kanak berusia tujuh, lapan, 10 atau 12 tahun yang masih bergolak emosinya ialah mereka dipimpin dengan hati yang tenang. Guru dan ibu bapa tidak boleh mudah menghakimi kerana setiap murid yang nakal, melawan ataupun gagal menguasai pelajaran pasti ada sebab di sebaliknya.

"Guru perlu terus membimbing mereka dengan penuh kesabaran, kasih sayang dan empati. Jika tidak, guru sendiri mudah beremosi, cepat marah, mengabaikan murid yang lambat memahami pelajaran atau berputus asa apabila nasihat tidak diendahkan," tambahnya.

Beliau berkata latihan berterusan berkaitan psikologi, pengurusan emosi dan kemahiran interpersonal perlu diperluaskan kepada semua guru supaya nilai empati, kesabaran dan kasih sayang dapat diterapkan secara konsisten dalam amalan harian.

"Itu sebabnya guru perlu diberi latihan, kesedaran dan kursus secara berterusan supaya ilmu serta nilai yang diajar benar-benar sebati dalam diri.

"Kemuncak seorang guru ialah mendidik dengan kasih sayang, kesabaran dan membina hubungan emosi yang rapat dengan murid. Walaupun guru sibuk dengan pelbagai tugas, yang lebih penting bukan kuantiti masa bersama murid, tetapi kualiti ketika berada di dalam kelas.

"Dalam tempoh 45 minit di kelas, guru perlu fokus, mengawal emosi, mengajar dengan sabar dan menunjukkan kasih sayang. Itulah yang akan kekal dalam ingatan serta kehidupan murid," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan usaha menjaga kesihatan mental murid memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh dipikul oleh kaunselor atau pakar psikologi semata-mata.

Katanya, guru, ibu bapa, rakan sebaya dan komuniti perlu memainkan peranan sebagai benteng sokongan pertama supaya murid membesar dalam persekitaran yang sihat.

"Sebab itu kita perlu menangani isu seperti buli dan kesihatan mental secara bersama di setiap peringkat supaya masyarakat dan pelajar membesar dalam persekitaran yang sihat.

"Benteng pertama kesihatan mental bukanlah pakar psikiatri, kaunselor atau ahli psikologi semata-mata. Guru, ibu bapa, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan seluruh komuniti perlu dibekalkan ilmu untuk memberi sokongan emosi, memahami serta membimbing murid supaya budaya kesihatan mental yang sihat dapat diwujudkan dalam masyarakat," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.