Selangor akan perkenal garis panduan pusat intervensi awal, elak terapi tanpa tauliah

24 Jul 2026, 6:00 AM
Selangor akan perkenal garis panduan pusat intervensi awal, elak terapi tanpa tauliah

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Selangor akan memperkenalkan garis panduan khusus bagi pusat intervensi awal (EIP) susulan terdapat sekitar 300 operator berdaftar di negeri ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, garis panduan itu sekali gus membendung amalan terapi tanpa tauliah terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.

Menurutnya, inisiatif itu diambil bagi mengelakkan situasi pihak tertentu membuat dakwaan mempunyai terapi atau kepakaran tertentu tanpa pengiktirafan yang sah.

"Cadangan penyediaan garis panduan berkenaan kini berada di peringkat semakan bersama penasihat undang-undang sebelum dimuktamadkan.

"Di Selangor sebenarnya terdapat kira-kira 300 pengusaha pusat intervensi awal swasta. Sebahagian daripada mereka turut disenaraikan sebagai vendor di bawah skim bantuan Kerajaan Negeri bagi membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas mendapatkan perkhidmatan intervensi awal.

"Jadi, kita mahu memastikan aspek kualiti sentiasa terpelihara. Kita tidak mahu ada pihak yang mendakwa mempunyai terapi tetapi sebenarnya tiada yang bertauliah. Sebab itu kita perlukan satu garis panduan khusus untuk pusat intervensi awal," katanya kepada Media Selangor.

Anfaal berkata, garis panduan berkenaan akan menetapkan standard minimum yang perlu dipatuhi semua pengusaha termasuk kelayakan terapi, latihan, tadbir urus serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang mempunyai kelainan pembelajaran.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk memilih pusat intervensi awal, sebaliknya dapat melengkapkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor.

"Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor adalah mahu memberi penekanan kepada penyediaan sistem penjagaan berkualiti dan berpiawaian.

"Justeru, Kerajaan Negeri akan terus mendapatkan pandangan daripada agensi berkaitan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti sebelum garis panduan itu dimuktamad dan dilaksanakan," katanya.

Untuk rekod, kesemua pusat intervensi itu berdaftar sebagai vendor di bawah Bantuan Rahmah Insan Instimewa Selangor BRAIS 2026, dengan peruntukan RM800,000 bagi membantu pembangunan dan pendidikan golongan orang kurang upaya.

Ia menggantikan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan dijangka memanfaatkan 1,800 penerima.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.