Permohonan BRAIS dibuka hingga 22 Jun, bantuan sehingga RM3,000

10 Jun 2026, 3:01 AM
Permohonan BRAIS dibuka hingga 22 Jun, bantuan sehingga RM3,000

SHAH ALAM, 10 JUN: Golongan orang kurang upaya (OKU) di Selangor yang memerlukan bantuan terapi, peralatan khas, ubat-ubatan atau pengubahsuaian kediaman disaran segera memohon Bantuan Rahmah Insan Istimewa (BRAIS) sebelum tarikh tutup pada 22 Jun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang Dr Quah Perng Fei berkata inisiatif Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) itu menawarkan bantuan sehingga RM3,000 bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga dan penjaga OKU.

Menurutnya, permohonan yang dibuka sejak 1 Jun merangkumi lima kategori bantuan termasuk yuran pusat terapi, pembelian ubat-ubatan dan makanan tambahan, peralatan khas, yuran persekolahan pendidikan khas serta pembinaan atau pengubahsuaian tandas mesra OKU.

"Jangan lepaskan peluang ini kerana bantuan yang disediakan dapat membantu mengurangkan kos penjagaan dan meningkatkan kualiti hidup golongan OKU serta keluarga mereka.

"Permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan proses yang mudah menerusi laman sesawang rasmi YANIS," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata bantuan peralatan khas ditawarkan sehingga RM3,000, manakala bantuan terapi serta pembelian ubat-ubatan dan keperluan khas masing-masing sehingga RM1,200.

Katanya, permohonan terbuka kepada ibu bapa, penjaga atau individu OKU yang merupakan warganegara Malaysia dan pengundi di Selangor, dengan penerima manfaat berusia 60 tahun ke bawah serta berdaftar sebagai pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Permohonan dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.yanis.org.my/brais, manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada YANIS di talian 03-5545 3170.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.