Pendidikan ubah nasib tiga generasi 

25 Jul 2026, 12:09 AM
Pendidikan ubah nasib tiga generasi 

Bagi sebahagian masyarakat India di Malaysia, kehidupan di estet suatu ketika dahulu sinonim kemiskinan, pekerjaan berat dan peluang pendidikan terhad.

Namun bagi keluarga Subramaniam Ponnusamy, latar belakang itu bukan pengakhiran sebuah cerita, sebaliknya titik permulaan perubahan sosial yang membawa tiga generasi keluar belenggu kemiskinan melalui pendidikan. 

Anak lelaki tunggal daripada lima beradik itu dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Carey, Kuala Langat, dalam keluarga mendiang Ponnusamy Nallathamby dan Valliamah Mookan yang bekerja sebagai buruh ladang serta penoreh getah. 

Walaupun hidup serba kekurangan, kedua-duanya berpegang teguh kepada prinsip pendidikan ialah jalan paling berkesan untuk mengubah masa depan anak-anak.  

Menurut Subramaniam, 65, ibu bapanya berkorban apa sahaja demi memastikan anak-anak memperoleh peluang pendidikan yang tidak pernah mereka nikmati. 

Suami, Subramaniam Ponnusamy ketika Temubualnya di Taman Andalas, Klang pada 17 May 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Saya bukan datang daripada keluarga berada. Apa yang saya ada hanyalah didikan ibu bapa yang sentiasa percaya bahawa pendidikan boleh mengubah kehidupan," katanya kepada Media Selangor.  

Beliau masih mengingati bagaimana ibu bapanya keluar bekerja setiap hari tanpa mengira cuaca demi menyara keluarga. 

"Kalau hujan, ibu bapa saya tetap keluar menoreh getah. Kalau penat sekalipun, mereka tidak pernah mengeluh kerana mereka mahu anak-anak belajar dan hidup lebih baik daripada mereka," katanya. 

Jalan keluar kemiskinan

Subramaniam menerima pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Barat Pulau Carey sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan SMJK (E) Pulau Carey bagi peringkat menengah rendah. 

Demi mendapat peluang pendidikan lebih baik, beliau berpindah ke bandar untuk mengikuti pengajian menengah atas di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Hamzah, Pelabuhan Klang. 

Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau bekerja sementara di kilang kelapa sawit di estet Pulau Carey bagi membantu keluarga dan menimba pengalaman. 

"Saya tidak mahu membuang masa. Sementara menunggu keputusan SPM, saya bekerja untuk membantu keluarga dan mencari pengalaman," katanya. 

Berbekal disiplin, kesungguhan dan sokongan ibu bapanya, beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan elektrik sebelum membina kerjaya dalam bidang teknikal. 

Tahun 1992 menjadi titik perubahan besar apabila Subramaniam mengambil keputusan meninggalkan Pulau Carey dan berpindah ke Klang bersama isteri, ibu bapanya serta tiga anak yang masih kecil. 

Keputusan itu demi menyediakan peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih baik untuk generasi seterusnya. 

"Berpindah ke bandar bukan perkara mudah. Kami tinggalkan tempat yang penuh kenangan, tetapi saya tahu masa depan anak-anak memerlukan pengorbanan itu," katanya yang turut aktif memperjuang kebajikan masyarakat estet melalui politik. 

Walaupun sibuk dengan kerjaya dan kegiatan kemasyarakatan, beliau memastikan pendidikan, disiplin dan nilai rendah diri menjadi asas utama dalam membesarkan anak-anak. 

"Saya selalu pesan kepada anak-anak, ilmu boleh membawa kita ke mana-mana, tetapi jangan sesekali lupa asal usul dan hormati orang yang membantu kita sepanjang perjalanan hidup." 

Menurut anak kedua beliau, Sharumathi, 30, kejayaan yang dinikmati keluarganya bermula daripada pengorbanan datuk dan nenek mereka yang bekerja keras di estet demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan. 

Antara gambar keluarga Subramaniam Ponnusamy bersama isterinya Komalavalli Kannan dalam Temubualnya di Taman Andalas, Klang pada 17 May 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Nilai yang diwariskan datuk dan nenek diterap bapa mereka kepada tiga beradik hingga masing-masing berjaya membina kerjaya profesional. 

Anak sulung, Hemantvell, 31, menamatkan pengajian bidang nautikal di Akademi Maritim Sarawak dan kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Dek (Chief Mate). 

Sharumathi pula memperoleh ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Newcastle sebelum memulakan kerjaya sebagai pegawai pematuhan dalam industri perbankan. 

Beliau kemudian menyertai Petronas di Jabatan Siasatan dan Semakan Khas sebelum berpindah ke Ipoh selepas berkahwin dan berkhidmat sebagai pengurus perhubungan perbankan komersial di sebuah bank tempatan. 

Adik bongsu, Darshan, 29, pula menamatkan pengajian kejuruteraan marin di Ranaco Marine dan bertugas sebagai jurutera marin. 

Menurut Sharumathi, walaupun datuk dan neneknya hanya pekerja estet, mereka sebenarnya menghadiahkan sesuatu yang jauh lebih bernilai kepada keluarga. 

"Bukan kemewahan yang mereka tinggalkan kepada kami, tetapi peluang untuk bermimpi lebih besar melalui pendidikan. 

"Pengorbanan mereka bukan sahaja mengubah kehidupan ayah, malah membentuk masa depan generasi kami hari ini," katanya. 

Tidak lupa akar umbi 

Walaupun seluruh adik-beradik itu berjaya dalam bidang profesional masing-masing, keluarga tersebut tidak pernah lupa akan asal usul mereka. 

Mereka sentiasa berbangga dilahirkan dari kalangan pekerja estet kerana estet bagi Sharumathi bukan lambang kemiskinan tetapi simbol ketabahan, pengorbanan dan kasih sayang datuk serta nenek mereka. 

Sehingga kini, mereka masih meluangkan masa menziarahi Pulau Carey dan estet, tempat datuk serta nenek mereka pernah tinggal dan bekerja. 

Setiap kunjungan itu menjadi peringatan tentang permulaan perjalanan keluarga serta mengukuhkan nilai kesederhanaan, kesyukuran dan kerja keras yang diwariskan sejak dahulu. 

Bagi Subramaniam, kejayaan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata. Sebaliknya, pendidikan perlu diseimbang dengan pembentukan sahsiah dan nilai moral. 

"Kalau ada pendidikan tetapi tiada nilai moral, seseorang itu mungkin berjaya dalam kerjaya tetapi belum tentu berjaya dalam kehidupan," katanya. 

Beliau juga mengakui kehidupan masyarakat di estet dahulu lebih akrab berbanding kehidupan bandar yang individualistik. 

"Dulu di estet, semua orang saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Semangat kejiranan sangat kuat. Hari ini, kehidupan bandar lebih sibuk dan cabaran untuk mengekalkan nilai itu semakin besar." 

Justeru, beliau percaya institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk generasi akan datang. 

"Ibu bapa tidak boleh menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada sekolah. Anak-anak belajar melalui apa yang mereka lihat setiap hari di rumah." 

Bagi keluarga ini, perjalanan daripada sebuah rumah sederhana di estet Pulau Carey kepada tiga anak yang berjaya dalam kerjaya profesional membuktikan mobiliti sosial bukan mustahil. 

Ia lahir daripada pengorbanan ibu bapa, kesungguhan mengejar ilmu dan keberanian mengubah nasib tanpa pernah melupakan asal usul. 

"Kalau seorang anak penoreh getah seperti saya boleh mengubah kehidupan keluarga melalui pendidikan dan kerja keras, saya percaya ramai lagi anak muda mampu melakukannya.  

“Lahir dalam keluarga susah bukan pilihan kita, tetapi untuk kekal dalam kemiskinan ialah sesuatu yang boleh diubah melalui usaha dan pendidikan," katanya. 

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.