Dalam dunia yang semakin sibuk dan hingar bingar, manusia mencari ruang kecil untuk melarikan diri. Sering kali mengalihkan bingit suasana melalui sepasang fon telinga.
Dua speaker kecil itu menjadi benteng halus antara jiwa dan dunia luar, memisahkan hiruk-pikuk dengan alunan muzik yang menenangkan.
Pemakaian peranti itu bukan lagi gaya hidup, tetapi ritual moden yang menemani perjalanan dalam tren, melengkapi sesi bersenam, malah menjadi pengantar tidur bagi anak muda.
Akses muzik yang begitu mudah membuatkan alatan elektronik kecil ini seolah-olah sambungan kepada tubuh.
Namun, di sebalik ketenangan yang diciptanya, tersembunyi risiko yang perlahan-lahan merosakkan tanpa kita sedari.

Bagi sesetengah pengguna, fon telinga bukan hanya hiburan tetapi perlindungan.
Arulini Arumugam, 23, menjelaskan dia bergantung kepada peranti itu untuk meredakan sensitiviti bunyi akibat autisme ringan.
"Saya didiagnos autisme ringan (mild autism), jadi penggunaan fon telinga adalah untuk melindungi saya. Ia bukan rutin setiap masa, tetapi bergantung keadaan," katanya.
Hafnee Nasuha Hairul Izham, 19, pula mengakui pemakaian alat itu sudah menjadi kebiasaan harian, sama ada ketika belajar atau sebelum tidur.
“Saya pakai setiap hari, tidak sehingga 24 jam. Kadang-kala bukan ingin mendengar muzik sahaja, tetapi untuk elakkan keadaan sekeliling,” katanya.
Bagi Jerry Smith, tempoh pemakaian boleh mencecah lapan jam sehari, terutamanya ketika berada dalam pengangkutan awam yang bising.
“Saya pakai untuk halang bunyi luar sama ada bunyi kenderaan atau manusia. Ia sudah jadi rutin harian,” katanya.
Pemuda 22 tahun itu mengakui pemakaian terlalu lama menyebabkan tidak selesa dan sakit telinga, namun menganggapnya sebagai perkara biasa.
Sementara Gideon Paul Doss, 18, berkata dia hampir tidak pernah berpisah dengan peranti itu kerana kecintaan terhadap muzik.
"Saya pernah pakai fon telinga ketika tidur, dan apabila bangun pagi kepala rasa sakit. namun saya abaikan tidak buat pemeriksaan kerana sakit itu akan hilang tidak lama selepas beberapa ketika," katanya.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2023 menunjukkan lebih 1 bilion anak muda seluruh dunia berisiko kehilangan pendengaran akibat amalan mendengar tidak selamat.
Lebih 49 juta individu berusia antara 12 hingga 35 tahun kini hidup dengan kehilangan pendengaran akibat pelbagai punca.
Malah, hampir 25 peratus daripada remaja dan dewasa muda di negara berpendapatan sederhana terdedah kepada bunyi berlebihan melalui peranti audio, manakala 50 peratus lagi terdedah kepada bunyi kuat di kelab malam, disko dan bar.
WHO mengesyorkan panduan 60:60 iaitu mendengar pada 60 peratus tahap bunyi selama maksimum 60 minit diikuti rehat 15 minit.
Selain itu, fon telinga perlu dibersihkan terutama selepas berpeluh bagi mengelakkan jangkitan.
Risiko pekak
Pensyarah Audiologi Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Wan Syafira Ishak berkata kemudahan akses kepada muzik melalui telefon pintar dan aplikasi penstriman menjadikan penggunaan peranti audio semakin meluas.

"Kalau dibandingkan dengan zaman dahulu, untuk mendengar muzik kita perlu berada di rumah yang ada radio atau dalam kereta. Namun sekarang muzik boleh diakses di mana-mana, sebab itu ramai orang suka pakai fon telinga," katanya.
Namun, keselesaan yang dinikmati ini hadir bersama bahaya. Penggunaan tanpa kawalan dari segi kekuatan bunyi dan tempoh boleh memberi kesan mendalam kepada pendengaran.
Kesan terhadap pendengaran bergantung kepada dua faktor utama tahap bunyi dan tempoh penggunaan.
"Lagi kuat kita dengar, sepatutnya lagi sekejap tempoh penggunaan. Pendedahan lama kepada bunyi kuat boleh merosakkan pendengaran," katanya.
"Masalah ini tidak berlaku secara mendadak. Ia rosak sedikit demi sedikit, sebab itu ramai tak sedar.”
Beliau juga mengakui penggunaan peranti ini turut mempengaruhi keselamatan.
Baru-baru ini, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara Machang maut ketika melintas jalan sambil memakai fon telinga tragedi yang mengingatkan betapa risiko tidak hanya pada telinga, tetapi juga nyawa.
“Pemakaian fon telinga tanpa kawalan bukan sahaja menjejaskan pendengaran, tetapi keselamatan kerana pengguna mungkin tidak peka dengan keadaan sekeliling,” tegas Dr Wan Syafira.
Beliau menasihati masyarakat supaya mula menjaga kesihatan pendengaran sejak muda.
"Pendengaran ini penting untuk pembelajaran, komunikasi, keselamatan dan kesihatan kognitif. Kalau kita jaga dari usia muda, kita boleh kekalkan pendengaran yang baik sampai tua," katanya.


