Panipuri lambang kebangkitan Kak Tun

6 Sep 2026, 3:00 AM
Panipuri lambang kebangkitan Kak Tun
Panipuri lambang kebangkitan Kak Tun

Kesusahan seorang ibu kadangkala disembunyikan daripada anak-anak supaya mereka tidak mengetahui betapa berat kehidupan yang sedang ditanggung.

Mengikat perut, mengutip barangan terpakai untuk dijual dan bergelut mencari tempat berteduh menjadi sebahagian perjalanan Sahdatun Nazirah Zainal Abidin membesarkan tiga anak selepas bergelar ibu tunggal.

Malah, wanita berusia 47 tahun yang mesra disapa Kak Tun itu pernah melalui malam tanpa kediaman selepas tidak lagi mampu membayar sewa rumah.

Namun, kehidupan serba kekurangan tidak mematahkan semangatnya. Daripada seorang ibu yang bergelut mencari rezeki, beliau kini membina perniagaan makanan dengan kelompok pelanggan sendiri mencecah 10,000 orang.

Anak-anak menjadi kekuatan utama untuk beliau terus bertahan meskipun tidak menerima nafkah selepas berpisah dengan suami.

Antara kenangan yang masih membekas ialah ketika mereka mula mempersoalkan ketiadaan figura seorang ayah di sekolah.

“Kadang-kadang bila pergi sekolah, cikgu tanya kenapa ayah tak datang. Anak-anak pula hanya diam, tak tahu nak jawab apa. Saya nampak air mata mereka bertakung, tetapi mereka pendam sahaja,” katanya kepada Media Selangor.

Sahdatun Nazirah Zainal Abidin, 47, pemilik Kaktun Enterprise bercakap kepada media tentang kehidupan sebagai seorang Ibu tunggal di kediaman Petaling Jaya, Selangor pada 7 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Apabila anak-anak semakin membesar, Sahdatun Nazirah sedar kehidupan mereka tidak boleh dibiarkan berterusan dalam keadaan sama.

Beliau kemudian mengambil keputusan menghantar mereka ke asrama supaya mendapat peluang membina masa depan lebih baik.

“Sampai satu tahap apabila mereka nak masuk sekolah menengah, saya fikir saya tak boleh terus hidup macam ini.

“Jadi saya kuatkan hati masukkan anak-anak ke asrama supaya mereka boleh berdikari dan bina masa depan sendiri,” katanya.

Tekanan kewangan pernah menyebabkan wanita itu tidak mampu membayar sewa rumah hingga terpaksa tidur di tepi jalan.

Kesusahan itu dirahsiakan daripada keluarga dan anak-anak kerana tidak mahu mereka turut dibebani kebimbangan.

“Kak Tun tak dapat nafkah satu sen pun. Bekas suami pernah cabar, tak boleh cari duit sendiri kah? Dari situlah saya jadi lebih kuat.

“Saya cuma doa kepada Allah supaya permudahkan urusan dan beri kekuatan untuk besarkan anak-anak,” katanya.

Antara koleksi gambar kenangan dimiliki oleh Sahdatun Nazirah ketika menyertai pelbagai program di kediaman Petaling Jaya, Selangor pada 7 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Kesukaran hidup turut menjadikan anak-anaknya matang lebih awal. Mereka memahami penderitaan ibu dan belajar berdikari, malah sanggup bekerja sebelum menyambung pengajian bagi membeli keperluan sendiri.

“Mereka tahu apa yang saya lalui. Mungkin sebab itu mereka juga jadi kuat.

“Saya tunjukkan saya kuat di depan mereka, jadi anak-anak pun belajar untuk kuat,” katanya.

Bermula dengan tepung pelita

Titik perubahan muncul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila Sahdatun Nazirah mula menjual tepung pelita dari rumah untuk menambah pendapatan.

Sambutan diterima di luar jangkaan sehingga jualannya mampu mencecah RM1,200 sehari.

Daripada situ, beliau melihat peluang dalam bidang makanan sebelum memberanikan diri menjual panipuri yang ketika itu belum banyak diusahakan peniaga Melayu.

“Awal-awal dulu saya jual lima biji RM3 sahaja. Jiran-jiran banyak beri sokongan.

“Tak sangka orang mula datang membeli dan ada yang borong sampai RM500 sehari. Dari situ saya nampak panipuri ini boleh pergi jauh,” katanya.

Perniagaan tersebut terus berkembang seiring kesungguhannya mengikuti kursus dan program keusahawanan anjuran pelbagai agensi.

Antaranya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Lembaga Zakat Selangor, Platform Selangor (PLATS), Yayasan Hijrah Selangor, FAMA, SIRIM serta Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Melalui bimbingan diterima, beliau mempelajari pemasaran digital dan pengurusan perniagaan selain memperoleh bantuan pembungkusan, modal serta peralatan.

“Kita mungkin ada bakat, tetapi untuk bergerak kita perlukan ilmu, modal, peralatan dan semangat.”

Usahanya turut membuahkan hasil apabila pernah menerima anugerah usahawan MBPJ, tersenarai dalam kelompok 20 terbaik TikTok serta memenangi pingat gangsa menerusi masakan rendang dalam pertandingan antarabangsa membabitkan peserta dari 16 negara.

Kini, Sahdatun Nazirah memiliki premis KakTun Delight di Petaling Jaya dan menyimpan impian membuka kilang panipuri sendiri.

Baginya, kejayaan bukan sekadar mengubah kehidupan keluarga. Beliau mahu perjalanan perniagaannya kelak membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang turut berdepan kesukaran.

“Kalau Allah izinkan saya berjaya lebih jauh, saya mahu kejayaan itu turut memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Kepada ibu tunggal yang sedang berdepan kesukaran, wanita itu berpesan supaya tidak menyerah kepada keadaan.

“Jangan putus asa. Cari bantuan, cari ilmu dan rebut setiap peluang yang ada. Bila peluang datang, jangan tunggu lagi,” katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.