Nasihat Nabi Yusuf bentuk masa depan

25 Sep 2026, 3:00 AM
Nasihat Nabi Yusuf bentuk masa depan

Al-Quran mengajar kita untuk berfikir tentang hari esok. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat apa yang telah disediakannya untuk hari esok.” - Surah al-Hashr (18)

Ayat ini asalnya berbicara tentang persediaan manusia untuk kehidupan akhirat. Namun, ia membawa prinsip penting dalam kehidupan: jangan hidup tanpa memikirkan akibat daripada apa yang kita lakukan hari ini. Hari esok tidak muncul tiba-tiba. Hari esok dibentuk oleh keputusan hari ini.

Begitu juga sebuah negara. Contoh paling menarik dalam al-Quran ialah kisah Nabi Yusuf. Apabila mentafsir mimpi raja Mesir, Baginda bukan sekadar memberi tafsiran. Baginda memberi pelan tindakan. Allah merakam:

“Yusuf berkata: Kamu hendaklah bercucuk tanam selama tujuh tahun berturut-turut dengan bersungguh-sungguh; kemudian apa yang kamu tuai, biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit daripada apa yang kamu makan.” - Surah Yusuf (47)

Nabi Yusuf menerangkan selepas tujuh tahun kemakmuran akan datang tujuh tahun kesusahan. Maksudnya, apabila keadaan baik, jangan habiskan semuanya. Simpan sebahagian hasil untuk menghadapi masa sukar. Inilah salah satu asas pemikiran strategik.

Orang yang berfikir pendek hanya melihat keadaan hari ini. Orang yang berfikir panjang bertanya: “Kalau keadaan berubah, apakah akan berlaku?” “Kalau ekonomi merosot, apakah persediaan kita?” “Kalau iklim berubah, apakah sumber makanan kita?” “Kalau teknologi berubah, apakah kemahiran anak-anak kita?”

Inilah sebabnya perancangan jangka panjang suatu keperluan. Namun, perancangan itu memerlukan tokoh yang berpandangan jauh.

Pemimpin yang hanya berfikir untuk lima tahun mungkin bertanya: “Apakah projek yang boleh disiapkan dalam tempoh saya?” Sebaliknya, pemimpin yang memiliki gagasan besar akan bertanya: “Apakah yang perlu saya mulakan hari ini walaupun hasilnya mungkin hanya dapat dinikmati oleh generasi selepas saya?”

Perbezaannya besar. Ada projek yang hasilnya boleh dilihat dalam setahun. Ada memerlukan sepuluh tahun. Ada memerlukan tiga puluh. Kita mungkin tidak lagi memegang jawatan. Mungkin telah bertahun.

Dan, ada yang hanya dapat dinilai generasi berikutnya. Sebab itu, tokoh yang ada gagasan bukan sekadar mengurus perkara harian.

Ini menunjukkan pembangunan negara memang memerlukan kesinambungan antara matlamat jangka panjang dengan pelaksanaan jangka sederhana dan pendek.

Ada hadis yang sangat indah dalam konteks ini. Rasulullah SAW bersabda:

“Jika berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu ada anak pokok kurma, maka jika dia mampu menanamnya sebelum dia berdiri, hendaklah dia menanamnya.” (Hadis ini diriwayat dalam Musnad Ahmad dan dinilai ada sanad sahih oleh Syu‘aib al-Arna’ut)

Bayangkan, kiamat hampir berlaku. Pohon itu mungkin tidak sempat membesar. Orang yang menanamnya mungkin tidak sempat menikmati buahnya. Tetapi Rasullulah SAW tetap mengajar kita supaya menanam. Apakah pengajarannya?

Nilai usaha bukan semata-mata terletak pada berapa cepat kita menikmati hasilnya. Kadangkala tugas kita ialah menanam. Generasi selepas kita yang akan berteduh di bawah pokok tersebut. Begitulah sepatutnya kita melihat perancangan jangka panjang.

Kita mungkin tidak lagi memegang jawatan. Mungkin telah bersara. Bahkan mungkin sudah tiada. Tetapi jika kita membina sekolah yang baik, institusi yang kukuh, ekonomi yang tahan krisis, membina masyarakat matang dan generasi muda berilmu, kita sebenarnya menanam pokok untuk generasi selepas kita.

Pelaksanaan gagasan

Satu perkara yang perlu diberi perhatian. Gagasan besar tidak boleh hanya sekadar ucapan. Ia mesti diterjemah kepada institusi, dasar, ukuran pencapaian dan tindakan. Kita memerlukan sasaran. Kita memerlukan indikator.

Kita juga perlu ada mekanisme untuk menilai: Apa yang sudah berjaya? Apa yang gagal? Apakah yang perlu diperbaiki? Apakah yang berubah dalam dunia sehingga pelan perlu disesuaikan?

Perancangan jangka panjang tidak bermaksud kita meramal masa depan secara tepat. Sebaliknya, ia bermaksud kita ada arah jelas tetapi fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.

Ada ungkapan yang dinisbahkan kepada Sayidina Uthman bin Affan: “Kamu lebih memerlukan pemimpin yang banyak bertindak daripada pemimpin yang banyak berkata-kata.”

Ungkapan itu mengingatkan kita betapa gagasan mesti disusuli tindakan. Sesebuah negara tidak dibangunkan dengan slogan. Ia dibangunkan dengan sekolah, penyelidik, jurutera, petani, usahawan, penjawat awam, institusi kehakiman, sistem demokrasi matang dan generasi muda. Paling penting, kesinambungan gagasan merentas pertukaran kepimpinan.

Jika setiap kali kerajaan berubah, semua perancangan jangka panjang dibuang dan diganti perancangan baharu, negara akan sentiasa bermula dari titik sama. Kita tidak akan sampai ke destinasi.

Kembali kepada pokok yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW. Mungkin orang yang menanam tidak sempat berteduh di bawahnya. Tetapi dia tetap menanam. Begitulah sepatutnya kita membina negara.

Kita tidak boleh hanya bertanya: “Apa manfaat yang saya dapat?”

Kita juga mesti bertanya: “Apakah yang saya tinggalkan untuk negara?”

Hal ini kerana, negara yang besar tidak dibina satu generasi sahaja. Generasi terdahulu menanam, generasi hari ini menyiram, generasi akan datang menikmati teduhannya. Apabila tiba masanya, mereka pula menanam pokok yang lain.

Inilah makna sebenar perancangan jangka panjang. Bukan sekadar melihat masa depan. Tetapi berani melakukan sesuatu pada hari ini untuk manusia yang mungkin belum pun kita kenali.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.