Dalam tempoh tiga minggu tahun ini, Amerika Syarikat mencipta suasana tegang dan tidak menentu yang luar biasa. Bermula dengan serangan mengejut ke atas Venezuela dan penculikan presidennya.
Sekarang Eropah pula cuba mengugut balas Amerika Syarikat setelah diancam dengan kenaikan tarif 10 peratus berhubung isu Greenland mulai 1 Februari.
Lapan negara berpengaruh di benua itu membantah usaha Presiden Donald Trump menguasai sepenuhnya Greenland dengan menghantar tentera ke pulau tersebut. Jadi, presiden itu naik berang.
Jika kuasa Eropah tersebut masih berdegil, Trump akan naikkan lagi tarif hingga 25 peratus pada 1 Jun.
Beliau juga mengugut Iran yang didakwa menyurai dengan ganas siri bantahan rakyat sejak 28 Disember susulan kejatuhan mata wang dan kemelesetan ekonomi.
Media Barat melaporkan kira-kira 5,000 orang terbunuh, termasuk 500 anggota pasukan keselamatan, dalam demonstrasi yang berlarutan lebih kurang dua minggu.
Tetapi semua kerenah ini bukanlah terlalu baharu. Politik, strategi dan ragam Trump sudah berjaya dianalisa dengan baik dalam buku Dunia Kini Milik China? karya bekas diplomat terkenal Kishore Mahbubani.

Karya terjemahan ini, asalnya diterbit pada 2020 dengan judul Has China Won?, mengupas gelagat baharu Amerika Syarikat di hujung pentadbiran penggal pertama Trump (mulai 2017).
Kita tidak akan faham Trump dan Amerika Syarikat hari ini hinggalah kita habis menelaah karya menarik ini. Ia mudah dibaca laju dan lancar, setiap halaman memakan masa dua minit sahaja!
Sempena genap setahun pentadbiran penggal keduanya pada 20 Januari, portal popular The Independent menyenarai semua negara yang diugut dan diserang. Selain Greenland, negara lain yang diugut termasuklah Mexico, Cuba dan Colombia.
Selain Venezuela, negara lain yang diserang: Nigeria, Somalia, Syria, Iraq, Yaman dan Iran. Dua negara terakhir ini ada kaitan dengan krisis Timur Tengah sewaktu memuncak pembunuhan rakyat Palestin tahun lepas.
Trump juga mengganggu perjalanan Piala Dunia 2026 di negaranya (bersama Kanada dan Mexico) sehingga badan pengendali sukan paling popular itu FIFA terpaksa memberikan "hadiah keamanan" pertama kepadanya. Hadiah yang ganjil dan kontroversi.
Langkah FIFA ini mungkin ingin melayan kegilaan Trump untuk mendapatkan Anugerah Nobel Keamanan yang pernah diberikan kepada Barack Obama pada 2009.
Presiden ke-44 menerima anugerah itu atas "usaha luar biasa mengukuhkan diplomasi dan kerjasama antara negara" tetapi Trump berbuat jauh daripada kerjasama. Beliau pengacau tata dunia!
Bukan hanya dengan China, Iran dan Rusia yang terus dimusuhinya tetapi badan dunia penting bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga dilanggarnya.
Sekutunya di Eropah juga menggelupur dengan sikapnya dalam perang Ukraine dan kini mahu merampas pula Greenland, dahulunya bawah penguasaan Denmark.
Malah penduduk di negaranya juga tertekan dengan pelbagai dasar pelik dan sesuka hati hingga berjuta-juta rakyat turun berdemonstrasi dalam kempen hari "No Kings" bagi menolak gaya maharaja yang dibawa Trump dan penasihatnya.

Dalam buku Dunia Kini Milik China?, Mahbubani sudah menjelaskan banyak tindakan Amerika Syarikat khasnya era Trump yang tidak menguntungkan negara tersebut.
Malah, strategi luar negara itu selepas era Perang Dingin pada awal 1900-an tidak membawa banyak keuntungan kepadanya, baik dalam soal perang atau ekonomi.
Daripada sembilan bab, termasuk pengenalan dan kesimpulan, empat bab awal daripada 2 hingga 5 sudah cukup membuka mata kita bagi memahami ketegangan China-Amerika Syarikat tahun lepas.
China mengenakan sekatan import produk nadir bumi dan bahan galian penting yang sangat diperlukan untuk teknologi termaju dan persenjataan canggih Amerika Syarikat.
Sedar ia tidak ada pilihan banyak, akhirnya Trump terpaksa mengalah dalam rundingan dua kuasa besar itu pada November. Tarif melampau terhadap China tidak diteruskan.
Bab 2 dan 3 masing-masing mengupas kesilapan terbesar strategi Amerika Syarikat dan China. Sementara dua bab berikutnya apakah dua negara ini akan lebih agresif atau mampu menahan diri daripada berperang?
Bab 5 dimulakan dengan kebijaksanaan dasar Amerika Syarikat, sebagai peneraju blok pasaran bebas, berdepan Kesatuan Soviet yang tidak demokratik dalam Perang Dingin.
Sejak selepas Perang Dunia Kedua, Washington mengambil pendekatan rasional, anjal dan menjimatkan bagi berdepan blok komunis.
Namun, kata Mahbubani, Amerika Syarikat tiba-tiba mengulangi kesilapan blok Timur yang menghabiskan dana untuk perang dan revolusi selepas Kesatuan Soviet berantakan pada hujung 1980-an.
"Gantikan perkataan 'Amerika' dengan 'China' dan perkataan 'Kesatuan Soviet' dengan 'Amerika'. Anda akan dapat gambaran betapa berbezanya Amerika berkelakuan dibandingkan dengan strateginya dalam Perang Dingin dahulu," tulis pengarang itu.
Namun, kata Mahbubani, China yang berada di blok Timur sudah belajar daripada kesilapan Soviet.
Negara itu mengawal perbelanjaan untuk pertahanan tetapi memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, khasnya mulai hujung 1970-an apabila Presiden Deng Xiaoping membuka ekonomi pasaran.
Dasar inilah yang membina kekuatan China hingga mampu meninggalkan dua lagi kuasa besar ekonomi, Jepun dan Jerman.
Pendek kata, buku ini membongkar kekuatan dan kelemahan dua kuasa terbesar ini dengan begitu jelas dan terperinci sehingga pembaca rasa seperti seorang pakar geopolitik sebaik sahaja tamat membacanya.
Buku ini bukan hanya mendedahkan konflik semasa kuasa ini tetapi turut mengajar bagaimana menyusun negara kita untuk bangkit agar terus maju atau, jika tersilap langkah, merosot.
Saya cadangkan buku ini dibaca bersama Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika Syarikat (Michael Pillsbury) dan satu lagi, Tata Dunia: Punca Perang & Damai Sepanjang Sejarah (Henry Kissinger).
Tiga karya terjemahan ini, terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor, mengupas hubungan dengan semua negara penting termasuk ASEAN, Timur Tengah, Eropah dan Afrika.


