SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri menyasarkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Selangor meningkat kepada 75 peratus menjelang 2030, dengan program MamaKerja terus diperkukuh bagi membantu lebih ramai ibu kekal dalam sektor pekerjaan.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata usaha itu penting memandangkan wanita merupakan aset penting kepada pembangunan negeri dan memerlukan sistem sokongan yang kukuh untuk terus aktif dalam pasaran buruh.
“Wanita merupakan satu pelaburan penting kepada negeri. Kita mahu mereka dapat terus berada dalam sektor pekerjaan dengan lebih tenang dan selamat, namun untuk itu mereka memerlukan sistem sokongan yang kukuh termasuk kemudahan penjagaan kanak-kanak.
“Tambahan RM5 juta ini membolehkan jumlah penerima program MamaKerja ditingkatkan kepada 10,000 ibu bekerja, sekali gus membantu lebih ramai wanita mengekalkan penyertaan mereka dalam pasaran buruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Anfaal, insentif RM1,000 yang ditawarkan menerusi program berkenaan mampu meringankan sebahagian beban kos penjagaan anak yang ditanggung ibu bekerja, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Katanya, bantuan tersebut bukan sahaja mengurangkan tekanan kewangan keluarga, malah membolehkan golongan ibu memberi tumpuan kepada kerjaya tanpa terlalu dibebani isu penjagaan anak.
"Kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Selangor ketika ini berada pada sekitar 70.3 peratus dan Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan kepada 75 peratus menjelang 2030," katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tambahan RM5 juta bagi program MamaKerja menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bagi memperkukuh sokongan kepada ibu bekerja yang berdepan kos penjagaan anak.
Penambahan peruntukan itu menjadikan jumlah keseluruhan dana program MamaKerja meningkat kepada RM10 juta, sekali gus membolehkan bantuan RM1,000 disalurkan kepada 10,000 ibu bekerja yang mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah.






