Balu mangsa rempuhan pemandu mabuk dijangka fail saman Ogos Ini

22 Jul 2026, 8:59 AM
Balu mangsa rempuhan pemandu mabuk dijangka fail saman Ogos Ini
Balu mangsa rempuhan pemandu mabuk dijangka fail saman Ogos Ini
Balu mangsa rempuhan pemandu mabuk dijangka fail saman Ogos Ini

KLANG, 22 JULAI: Hampir empat bulan selepas kehilangan suami, balu kepada penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat di sini kini menggalas sepenuhnya tanggungjawab membesarkan tiga anak mereka.

Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata pada awal pemergian suaminya, Amirul Hafiz Omar, 33, beliau tidak begitu merasai kesedihan kerana masih menganggap Allahyarham hanya keluar bekerja seperti kebiasaan.

"Selepas tiga bulan saya baru rasa sedih dan kehilangan. Sebelum ini saya rasa macam suami pergi kerja sahaja. Baru sekarang saya sedar kesedihan itu makin menjadi," katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Klang hari ini.

Beliau berkata kesedihan semakin terasa apabila melihat wajah anak-anak yang mengingatkannya kepada pengorbanan Amirul Hafiz sepanjang membesarkan mereka bersama-sama selain mengimbau rutin harian suaminya menghantar anak ke sekolah setiap hari.

"Bila tengok muka anak pun saya rasa sedih. Saya teringat macam mana susahnya suami membesarkan anak-anak…arwah mempunyai rutin harian menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi sebelum mengambil mereka pulang pada waktu tengah hari untuk makan bersama. Hujan panas dia tetap ambil anak.

“Sekarang tugas itu saya yang ambil. Bila saya bawa anak-anak ke sekolah, kalau selisih dengan penunggang motosikal lain yang bawa anak depan belakang, saya terus teringat momen yang sama dilakukan arwah," katanya yang memaklumkan anak-anaknya kini berada dalam keadaan baik.

Nor Nadia berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan terus menetap di Shah Alam atau pulang ke kampung di Perak kerana mahu memilih tempat terbaik untuk membesarkan anak-anak.

Katanya, Shah Alam mempunyai banyak kenangan bersama arwah selain menawarkan lebih banyak kemudahan dan tempat riadah untuk anak-anak berbanding di kampung, yang dapat membantu mereka menyesuaikan diri selepas kehilangan bapa.

Keluarga Allahyarham sebelum ini memaklumkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kematian mangsa, dengan saman sivil dijangka difailkan terhadap tertuduh selepas proses dokumentasi berkaitan selesai.

Sementara itu, peguam keluarga mangsa, Nur Iffah Hizwani Omar berkata writ saman dan penyata tuntutan telah disediakan, namun pemfailannya masih menunggu proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

Beliau berkata permohonan Surat Kuasa Mentadbir yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka diputuskan pada 28 Julai ini sebelum pihaknya mendapatkan dokumen pendapatan sampingan arwah daripada syarikat e-hailing.

Rekod pendapatan itu, katanya, diperlukan bagi menentukan jumlah tuntutan yang akan dimasukkan dalam penyata tuntutan sebelum saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Setakat ini saya mendapat arahan daripada pihak kami untuk tuntutan berjumlah RM1 juta. Sekiranya tiada halangan, writ saman dan penyata tuntutan dijangka difailkan pada Ogos ini," katanya.

Sebelum ini, R Saktygaanapathy, 28, didakwa membunuh penghantar barangan, Amirul Hafiz di Jalan Raya Barat, Klang pada 29 Mac lalu selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.