KLANG, 22 JULAI: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan bagi status representasi terhadap pertuduhan dadah dihadapi pembantu makmal, R Saktygaanapathy, yang sebelum ini turut berdepan pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal.
Majistret Nor Azilah Mat menetapkan tarikh itu selepas peguam tertuduh, Aravind Raj memaklumkan pihak pembelaan memerlukan masa meneliti dokumen pertuduhan di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum memutuskan sama ada akan mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan.
Aravind berkata dokumen bagi pertuduhan dadah telah diterima pihak pembelaan dan pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sebelum memutuskan langkah seterusnya.
“Pihak kami memohon untuk meneliti dokumen tersebut dan jika perlu kami akan mengemukakan representasi selepas mendapatkan arahan anak guam," katanya pada prosiding yang turut dihadiri Pegawai Pendakwa Insp Rabiul Awal Ishak.
Mengikut pertuduhan pindaan, Saktygaanapathy, 28, didakwa memasukkan dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 3.30 petang, 29 Mac lepas.
Pada 1 April lepas, tertuduh dilaporkan mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis benzodiazepine dan THC pada masa serta lokasi yang sama sebelum menukar pengakuan tidak bersalah pada 3 Jun.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding di mahkamah berasingan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi, Majistret A Khartiyayini menetapkan 7 Oktober depan sebagai tarikh sebutan kes bunuh bagi mendapatkan status laporan patologi mangsa.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Aravind berkata dokumen bagi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pula lazimnya hanya akan diserahkan selepas kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sekiranya pertuduhan itu masih dikekalkan di bawah seksyen berkenaan.
Dalam pertuduhan berasingan, Saktygaanapathy didakwa membunuh penghantar barangan, Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, Klang pada 11.47 pagi, 29 Mac lepas selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Balu mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, turut hadir pada prosiding berkenaan bersama dua lagi ahli keluarga.







