SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan hukuman mati dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) bagi kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau menjelaskan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani kes serius, termasuk membolehkan pendakwaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika bersesuaian.
Menurutnya, langkah itu juga selari dengan dasar kerajaan yang telah menghentikan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan.
"Setakat ini, kerajaan sudah menghentikan hukuman mati mandatori. Jadi, perkara ini bukan dalam pertimbangan kami," katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program keselamatan jalan raya di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli mencadangkan agar hukuman terhadap pesalah pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah diperketatkan, walaupun pindaan telah dibuat pada 2020.
Cadangan itu dibuat susulan beberapa kes kemalangan maut, termasuk insiden di Klang pada 29 Mac lalu yang meragut nyawa seorang penghantar makanan.
Dalam kejadian itu, Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan pemandu disyaki mabuk di Jalan Raya Barat.
Mengulas lanjut, Loke berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada penambahbaikan APJ bagi memastikan kebajikan keluarga mangsa lebih terjamin.
"Apa yang kita pinda adalah untuk memastikan ada pampasan kepada keluarga mangsa.
"Jika didapati bersalah, selain hukuman penjara dan denda, pesalah juga bertanggungjawab membayar pampasan kepada keluarga mangsa," katanya.
Beliau berkata, pindaan terhadap APJ sedang dirangka bersama Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.








