SHAH ALAM, 5 APR: Bantuan kerajaan serta kunjungan pelbagai pihak membantu Nor Nadia Abdul Majid, balu kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, untuk lebih kuat dan tenang meneruskan kehidupan.
Nor Nadia, 32, berkata sokongan yang diterima memberi kekuatan moral kepadanya dalam menghadapi ujian kehilangan suami secara mengejut.
“Dengan sokongan ini, saya rasa lebih tenang dan lebih semangat untuk teruskan hidup.

“Mula-mula itu memang hati saya remuk. Siapa yang tidak sedih kehilangan suami secara mengejut seperti ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rimba 2, di sini semalam.
Menurutnya, beliau kini cuba bangkit demi anak-anak yang masih kecil walaupun berdepan kebimbangan mengenai masa depan keluarga.
“Sejujurnya saya susah hati memikirkan masa depan anak-anak kerana sebelum ini kami sepenuhnya bergantung kepada suami,” katanya.
Nor Nadia berkata beliau merancang pulang ke kampung di Perak bagi menguruskan anak-anak serta mengambil masa untuk bertenang sebelum menentukan langkah seterusnya.
Nor Nadia turut berkongsi detik akhir sebelum Allahyarham Amirul keluar rumah dan terlibat tragedi yang meragut nyawanya.

"Dia cakap, abang pergi dulu. Duduk rumah. Makan sate atas meja itu," katanya.
Dalam program ziarah itu, EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman, Ahli Parlimen Klang Ganabatirau Veraman serta Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Selangor Najmuddin Jemain turut menghulurkan sumbangan tunai bagi meringankan beban keluarga berkenaan.








