SHAH ALAM, 4 APR: Tindakan paling tegas tanpa kompromi perlu dikenakan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah susulan kes kemalangan maut yang meragut nyawa pemandu e-panggilan, Amirul Hafiz Omar baru-baru ini.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman berkata insiden tersebut tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa.
Menurutnya, isu melibatkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh bahan terlarang perlu ditangani secara serius bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
“Perkara ini tidak boleh dikompromi lagi, khususnya melibatkan pemandu mabuk atau berada di bawah pengaruh bahan terlarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menziarah keluarga Nor Nadia Abdul Majid yang merupakan balu kepada Allahyarham Amirul di Rimba 2, di sini hari ini.

Beliau pada masa sama menghargai tindakan pantas pelbagai pihak dalam menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa yang kini berdepan ujian berat.
Papparaidu turut menggesa supaya undang-undang serta tahap penguatkuasaan, termasuk melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), disemak semula agar setimpal dengan kesalahan dilakukan.
“Banyak kemalangan melibatkan individu tidak bersalah sehingga meragut nyawa, jadi perkara ini perlu dihentikan segera dan langkah pencegahan mesti dipertingkat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Ganabatirau Veraman menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil tanpa pilih kasih.
“Kesalahan tetap kesalahan tanpa mengira latar belakang dan undang-undang perlu dikuatkuasakan dengan tegas.
“Semua kes perlu diberikan layanan sama dan kita perlu mengambil iktibar supaya kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara mempertingkat pemantauan serta tindakan terhadap kes melibatkan pemandu di bawah pengaruh bahan terlarang demi keselamatan orang awam.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah ICU JPM Selangor Najmuddin Jemain berkata pihaknya akan terus komited membantu rakyat yang berdepan kesulitan.
“ICU JPM dipertanggungjawabkan untuk membantu rakyat yang menghadapi masalah seperti kes ini dan kita akan terus menyantuni mereka.
“Usaha membantu kes sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam program ziarah itu, Paparaidu, Ganabatirau dan Najmuddin turut menghulurkan sumbangan tunai.









