KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan kecekapan dalam pelbagai sektor termasuk kesihatan, namun teknologi itu perlu dimanfaatkan secara seimbang dengan kehidupan sebenar.
Pengarah Bahagian Kesihatan Digital, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Mahesh Appannan berkata AI memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi digital sektor kesihatan.
Bagaimanapun katanya, teknologi itu perlu kekal sebagai alat sokongan yang membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan, bukannya menggantikan peranan petugas kesihatan.
"Transformasi digital dalam sistem kesihatan turut mengubah kaedah penyampaian perkhidmatan dan konsultasi perubatan, sekali gus mendorong warga kesihatan berfikir secara lebih digital.
"Kita perlu memanfaatkan kelebihan AI, tetapi pada masa sama jangan alpa. Yang penting ialah mengimbangi penggunaan teknologi dengan kehidupan sebenar," katanya dalam sesi forum Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mediha Mahmood berkata pengguna perlu lebih peka terhadap kandungan di media sosial kerana algoritma tidak semestinya memaparkan maklumat yang benar.
Menurutnya, orang ramai perlu membudayakan amalan menyemak fakta sebelum mempercayai atau berkongsi sesuatu kandungan, selain tidak bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang dipaparkan di platform digital.
"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan lebih aktif dengan memantau penggunaan media sosial anak-anak serta memastikan ciri keselamatan yang disediakan platform sentiasa digunakan.
"Pada masa sama, setiap pengguna perlu sentiasa berfikir secara kritikal ketika menggunakan media sosial. Jangan terus mempercayai atau berkongsi sesuatu kandungan tanpa membuat semakan fakta," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Pengasas RELATE Malaysia, Dr Chua Sook Ning berkata penggunaan AI secara berlebihan berpotensi menjejaskan hubungan sosial apabila individu semakin bergantung kepada teknologi berbanding interaksi secara bersemuka.
Beliau berkata hubungan sesama manusia tidak boleh digantikan oleh AI kerana teknologi itu tidak mampu menggantikan kasih sayang, empati dan hubungan yang terjalin melalui interaksi sebenar.
"AI juga tidak boleh menentukan siapa diri kita kerana identiti dan nilai seseorang terbentuk melalui pengalaman hidup. Manusia perlu bijak mengawal penggunaannya dan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi.
"Selain itu, setiap maklumat atau jawapan yang dijana AI juga perlu disemak serta disahkan terlebih dahulu sebelum diterima sebagai fakta. AI hanyalah alat yang membantu manakala pertimbangan dan keputusan akhir tetap perlu dibuat oleh manusia," tambahnya.









