SHAH ALAM, 22 JULAI: Sebuah gudang penyimpanan perkakasan di Batu Belah, Klang musnah 80 peratus dalam kebakaran tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam.
Beliau berkata sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara digerakkan ke lokasi dengan bantuan BBP Klang Selatan serta BBP Andalas.
Menurutnya, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan perkakasan berkeluasan 100 x 80 kaki persegi.
"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan perkakasan berkeluasan 100 x 80 kaki persegi terbakar 80 peratus.
"Bahan terlibat merangkumi pelbagai peralatan seperti cat, lampu LED, barangan plastik dan lain-lain," katanya dalam kenyataan hari ini.










