SHAH ALAM, 21 JULAI: Peruntukan Projek Selangor Penyayang (PSP) bukan sekadar membantu menaik taraf kemudahan awam, malah menjadi antara penyelesaian kepada pelbagai keperluan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Melihat manfaat yang dibawa, beberapa wakil rakyat berharap skop penggunaannya dapat diperluaskan supaya lebih banyak keperluan komuniti dapat dipenuhi pada masa depan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata pihaknya merancang melaksanakan lima projek menerusi peruntukan PSP tahun ini, dengan memberi tumpuan kepada naik taraf taman awam, taman permainan serta penyediaan lebih banyak kemudahan sukan.
Menurutnya, projek berkenaan dipilih kerana mampu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di samping menggalakkan gaya hidup sihat tanpa membebankan orang ramai dengan kos.

"Kami memberi fokus kepada taman awam dan taman permainan kerana ia boleh digunakan oleh kanak-kanak, warga emas serta seluruh komuniti secara percuma.
"Sekarang banyak kemudahan rekreasi dan sukan memerlukan bayaran. Jadi, kita mahu menyediakan lebih banyak fasiliti percuma supaya rakyat mempunyai ruang untuk bersukan dan beriadah," katanya selepas Sesi Libat Urus PSP di sini.
Beliau turut berharap Kerajaan Negeri mempertimbangkan supaya peruntukan PSP pada masa hadapan boleh digunakan bagi kerja menurap jalan di kawasan pangsapuri kos rendah.
Katanya, banyak jalan di kawasan perumahan berkenaan memerlukan pembaikan, namun penduduk tidak mampu menanggung kos yang tinggi.
Sementara itu, Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar berkata peruntukan PSP banyak membantu menaik taraf kemudahan di sekolah rendah agama dalam kawasannya sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, lebih lima projek pembaikan berjaya dilaksanakan, termasuk kerja membaiki bumbung, lantai, pentas serta kemudahan lain.

"Tahun ini pula kita meneruskan pembaikan di beberapa sekolah agama dan surau. Peruntukan ini amat membantu kerana banyak keperluan infrastruktur dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
"Saya berharap peruntukan tahun depan dapat ditingkatkan supaya lebih banyak sekolah dan pusat pendidikan dapat menerima manfaat, sekali gus memperluaskan lagi impak PSP kepada masyarakat," katanya.
PSP yang diperkenalkan Kerajaan Selangor pada 2022 merupakan inisiatif pembangunan fizikal yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan serta kesemua 56 Ahli Dewan Negeri bagi menambah baik kemudahan awam mengikut keperluan setempat.
Pada 19 Jun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM14 juta bagi memperkukuh fasiliti awam menerusi pelaksanaan PSP.









