Selangor sedia RM114 juta untuk fasiliti awam, bantu aliran tunai syarikat

19 Jun 2026, 4:03 AM
Selangor sedia RM114 juta untuk fasiliti awam, bantu aliran tunai syarikat

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM14 juta bagi memperkukuh fasiliti awam menerusi Projek Selangor Penyayang, selain menyediakan RM100 juta untuk program Selangor Advance (SA500) yang membantu aliran tunai syarikat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain pemberian bantuan tunai dan barangan keperluan asas, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada peningkatan kualiti kemudahan awam sebagai pelengkap kepada pembangunan prasarana baharu.

 “Antara usaha yang memberi manfaat kepada rakyat adalah fasiliti taman awam dan pengecatan pangsapuri yang melebihi 15 tahun.

 “Bagi mengukuhkan lagi fasiliti awam, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM14 juta untuk dimanfaatkan oleh kawasan-kawasan di seluruh Selangor,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Selangor Advance diperluaskan bagi membantu syarikat yang berurusan dengan projek infrastruktur negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan aliran tunai ketika berdepan cabaran ekonomi semasa.

Menurutnya, antara kekangan utama yang dihadapi syarikat dalam sektor logistik dan pembuatan ialah peningkatan harga barang susulan gangguan bekalan serta sumber yang terhad.

“Peruntukan RM100 juta ini dijangka dapat memanfaatkan 500 syarikat serta kontraktor yang berurusan di negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata sejak diperkenalkan ketika pandemik Covid-19, Selangor Advance telah dimanfaatkan 1,398 syarikat menerusi kemudahan yang membantu mempercepatkan urusan bayaran melalui invois sedia ada serta melancarkan urusan perniagaan.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 diperkenalkan sebagai langkah kerajaan negeri mendepani kesan krisis tenaga dan gangguan bekalan global susulan konflik di Asia Barat.

Inisiatif ini juga bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara. 

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.