GOMBAK, 19 OKT: Kira-kira 500 penduduk Kampung Kenanga, Rawang bakal menikmati kemudahan dewan terbuka yang lebih selesa selepas kerja naik taraf bernilai RM150,000 dilaksanakan secara berperingkat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata, peruntukan itu merangkumi RM100,000 menerusi program Sejati MADANI pada tahun lalu bagi pembinaan bumbung, manakala RM50,000 di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) pada tahun ini digunakan untuk pemasangan jubin lantai serta penambahbaikan kemudahan lain.
Chua Wei Kiat berkata, kerja naik taraf itu bertujuan meningkatkan keselesaan penduduk ketika menggunakan dewan berkenaan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Tahun lalu kita tambah bumbung, tahun ini kita naik taraf lantai jubin untuk memberi lebih keselesaan kepada mereka yang menggunakan kemudahan ini.
“Akhirnya kita dapat usahakan satu dewan seperti ini supaya masyarakat boleh menggunakan dewan ini untuk program, kenduri dan sebagainya. Itu tujuan utama kita buat pelaksanaan ini,” katanya.
Terdahulu, Wei Kiat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kenanga Sukria Yahya meninjau kerja naik taraf dewan berkenaan, di sini hari ini.

Dewan itu digunakan penduduk berbilang kaum untuk pelbagai aktiviti, termasuk majlis perkahwinan, program sekolah dan aktiviti kesihatan, sekali gus menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Sementara itu, Sukria berkata, dewan berkenaan dibangunkan di kawasan yang sebelum ini menempatkan bangunan terbiar.

“Dewan ini pelbagai guna oleh masyarakat, termasuklah program sekolah, majlis kahwin dan keraian memang ramai mahu gunakan.
“Diharap dewan ini dapat menjadikan kawasan kampung sebagai pusat aktiviti komuniti yang lebih aktif, selesa dan mampu dimanfaatkan penduduk setempat,” katanya.
PSP yang diperkenalkan pada 2022 menyediakan peruntukan bagi kerja menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara kemudahan awam di seluruh Selangor.







