SHAH ALAM, 21 JULAI: Orang ramai kini boleh memantau status pelaksanaan Projek Selangor Penyayang (PSP) secara terus menerusi platform digital yang akan dilancarkan bermula Ogos depan.
Penyelaras Selangor Performance & Implementation Monitoring Unit (SIAP) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Saiful Azri berkata platform itu membolehkan rakyat menyemak sendiri perkembangan projek yang dilaksanakan di kawasan masing-masing.
Katanya, maklumat yang dipaparkan merangkumi status pelaksanaan, kos projek serta kemajuan semasa, sekali gus memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan PSP.
"Melalui platform ini, orang ramai boleh mengetahui projek yang telah siap, sedang dilaksanakan dan melihat sendiri bukti bergambar.
"Ini merupakan usaha meningkatkan akauntabiliti Kerajaan Negeri supaya rakyat dapat mengikuti perkembangan projek yang dilaksanakan menggunakan dana awam," katanya kepada Media Selangor.

Ditemui selepas Sesi Libat Urus PSP di sini, Mohd Saiful berkata setiap projek akan dikemas kini secara berperingkat oleh agensi pelaksana dan dipantau Ahli Dewan Negeri (ADN).
Katanya, sistem berkenaan diselaraskan oleh tiga agensi utama iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
"SIAP pula akan memantau keseluruhan pelaksanaan bagi memastikan setiap maklumat yang dipaparkan sentiasa tepat, terkini dan mudah diakses rakyat," katanya.
PSP yang dilaksana sejak 2022 adalah inisiatif Kerajaan Selangor berteraskan pembangunan fizikal yang melibatkan kerjasama antara agensi dan kesemua 56 ADN.
Pada 19 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukkan RM14 juta bagi memperkukuh fasiliti awam menerusi projek berkenaan.







