SHAH ALAM, 21 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Selangor sehingga jam 6 petang hari ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia yang dikeluarkan pada jam 3.45 petang, kawasan terlibat di Selangor ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah.
Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlaku hujan lebat, ribut petir dan angin kencang sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa.
MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk.







