SHAH ALAM, 22 JULAI: Program Ambulans Kita Selangor (AKS) kini memasuki fasa kedua dengan inisiatif perkhidmatan mobiliti kesihatan percuma itu diperluas ke sembilan daerah, 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 86 klinik kesihatan kerajaan di negeri ini.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari merasmikan fasa kedua program itu pada 15 Julai 2026 bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan tanpa berdepan kekangan pengangkutan.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata, perkhidmatan itu menyediakan penghantaran sehala atau dua hala kepada pesakit yang layak ke 86 klinik kesihatan serta sekurang-kurangnya 20 hospital kerajaan.
"Tempoh penghantaran tidak melebihi empat jam, merangkumi perjalanan dari rumah ke hospital kerajaan, dari hospital ke rumah, ataupun pemindahan antara hospital kerajaan," katanya.
Beliau berkata keutamaan diberikan kepada pesakit terlantar dan mereka yang memerlukan bekalan oksigen sepanjang perjalanan, dengan syarat pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan.

"Pemohon juga mestilah menetap di Selangor dan permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya sehari sebelum tarikh perkhidmatan di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berdekatan.
"Pemohon juga perlu membawa salinan kad pengenalan, surat pengesahan temu janji hospital dan bukti pendapatan isi rumah," ujarnya.
Beliau berkata, selepas permohonan disahkan, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN akan mengemukakan borang kepada pasukan ambulans sebelum pesakit dihubungi menerusi WhatsApp bagi pengesahan masa penghantaran.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama St John Ambulans Malaysia (SJAM) itu menyasarkan pesakit kronik, warga emas dan pesakit terlantar yang memerlukan pengangkutan ke hospital bagi rawatan susulan atau pemindahan perubatan.
48 ambulans beroperasi di enam lokasi

Jamaliah berkata, sejak November 2025 hingga kini, sebanyak 48 ambulans beroperasi sepanjang tahun, termasuk sebuah ambulans neonatal dan dua ambulans bariatrik yang ditempatkan di enam lokasi strategik di Selangor.
"Setakat ini, program ini telah mengendalikan 372 kes membabitkan 103 penerima manfaat sejak fasa pertama dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata liputan inisiatif itu turut diperluas daripada tiga kepada sembilan daerah, manakala kawasan perkhidmatan meningkat daripada lima kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta daripada 26 kepada 56 DUN.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bagi pelaksanaan fasa pertama, diikuti tambahan RM1 juta menerusi Belanjawan Selangor 2025 bagi memperluaskan liputan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan ambulans percuma itu.









