Selangor selaras pemasangan, penyelenggaraan AED di setiap PBT

18 Nov 2026, 4:07 AM
Selangor selaras pemasangan, penyelenggaraan AED di setiap PBT
Selangor selaras pemasangan, penyelenggaraan AED di setiap PBT
Selangor selaras pemasangan, penyelenggaraan AED di setiap PBT

SHAH ALAM, 19 NOV: Pelaksanaan garis panduan pemasangan defibrilator luaran automatik (AED) di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diperkukuh bagi memastikan peranti itu sentiasa berfungsi dan boleh digunakan ketika berlaku kecemasan.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata garis panduan yang dikeluarkan pada 19 November itu menjadi rujukan kepada semua pihak berkepentingan, khususnya PBT, dalam aspek pemasangan, latihan penggunaan dan penyelenggaraan AED.

Jelas beliau, pemasangan peranti itu bukan sekadar melibatkan pembelian, sebaliknya perlu disertai latihan kepada individu yang berada berhampiran lokasi pemasangan serta penyelenggaraan berkala.

“Latihan perlu diberikan kepada petugas seperti pegawai dan pengawal keselamatan. Peranti AED juga memerlukan penyelenggaraan setiap tiga hingga lima tahun bergantung jenis dan penggunaannya. Jika pernah digunakan, peranti itu perlu dikembalikan untuk tindakan selanjutnya.

"Semua perkara ini terkandung dalam garis panduan yang dimuktamadkan September lalu. Langkah seterusnya ialah berbincang dengan setiap PBT supaya mereka memahami pelaksanaannya, selain menggalakkan pemasangan AED pada masa akan datang," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Seri Kembangan Wong Siew Ki berhubung penyelenggaraan AED pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jamaliah memaklumkan garis panduan berkenaan berkuat kuasa 1 September lalu sebagai rujukan dan instrumen piawaian kepada semua pihak berkepentingan.

Garis panduan itu bertujuan menyeragamkan aspek pemasangan, penempatan, penyelenggaraan dan kesediaan penggunaan AED bagi memastikan peranti berkenaan mudah dicapai ketika berlaku kecemasan.

Antara keperluan ditetapkan ialah pemasangan AED di lokasi strategik yang mempunyai aliran pengguna tinggi serta mudah dilihat dan diakses, termasuk lobi utama, kaunter pertanyaan dan pintu masuk premis.

Penempatan peranti itu juga perlu mengambil kira aspek capaian pantas bagi membolehkan bantuan defibrilasi diberikan dalam tempoh kritikal selepas seseorang mengalami serangan jantung mengejut.

Dalam pada itu, Jamaliah menggalakkan semua wakil rakyat bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk memasang AED di kawasan masing-masing bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan ketika kecemasan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri setakat ini memasang 56 unit AED dengan peruntukan hampir RM500,000, justeru usaha memperluas kemudahan itu memerlukan penglibatan lebih banyak pihak.

"Pada peringkat ini, saya mencadangkan Ahli Dewan Negeri memasang AED di kawasan yang dirasakan memerlukan kemudahan itu.

"Kita juga menggalakkan premis komersial, pusat beli-belah dan bank memasang AED supaya komuniti mempunyai akses kepada peranti berkenaan berhampiran mereka," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.