SHAH ALAM, 18 NOV: Sebanyak 490 panggilan diterima menerusi Talian Selangor Mental Sihat (SEHAT) setakat 31 Oktober lalu, membabitkan 289 panggilan melalui Talian Belia dan 201 panggilan talian umum.
EXCO Kesihatan, Jamaliah Jamaluddin berkata seramai 75 individu turut memanfaatkan perkhidmatan panggilan semula melalui sistem janji temu dalam aplikasi SELangkah bagi mendapatkan sokongan dan intervensi psikososial berterusan.
“Bagi Program Hab Kaunselor SEHAT pula, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 296 tempahan sesi kaunseling telah direkodkan.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 90 tempahan sesi telah dilaksanakan melalui Hab Rakan Sokongan, manakala 34 individu yang memenuhi syarat kelayakan telah menerima subsidi rawatan pakar psikiatri dan psikologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad mengenai jumlah penerima manfaat program SEHAT pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menurut Jamaliah, statistik berkenaan membuktikan perkhidmatan kesihatan mental yang disediakan Kerajaan Negeri memberi manfaat kepada masyarakat melalui pelbagai bentuk sokongan dan intervensi.
Jelasnya, bantuan yang disediakan merangkumi sokongan psikososial, kaunseling komuniti serta subsidi rawatan pakar psikiatri dan psikologi.
Talian SEHAT yang dibangunkan menerusi aplikasi SELangkah menyediakan sokongan psikososial dan kaunseling percuma oleh kaunselor berdaftar bagi membantu rakyat Selangor menguruskan kesihatan mental.
Perkhidmatan itu dikendalikan kaunselor terlatih yang menggunakan pendekatan komunikasi empati, pengurusan krisis serta pemahaman terhadap isu kesihatan mental, termasuk dalam kalangan remaja dan belia.







