Masa depan anak autism, neurodivergen bermula dengan laluan pendidikan yang jelas

21 Jul 2026, 3:09 AM
Masa depan anak autism, neurodivergen bermula dengan laluan pendidikan yang jelas

Bagi kebanyakan keluarga, menerima berita bahawa anak disahkan mengalami autisme atau merupakan individu neurodivergen merupakan satu pengalaman yang mencetuskan pelbagai emosi.

Ada ibu bapa yang berasa terkejut, sedih, keliru, bimbang, malah ada yang melalui fasa penafian sebelum dapat menerima keadaan sebenar anak mereka. Reaksi ini adalah lumrah. Namun, apa yang lebih penting ialah tindakan yang diambil selepas menerima diagnosis tersebut.

Diagnosis bukanlah noktah kepada masa depan anak, sebaliknya merupakan titik permulaan untuk merancang intervensi dan sokongan yang lebih tersusun.

Semakin awal ibu bapa menerima keadaan anak dan mendapatkan bantuan yang bersesuaian, semakin besar peluang anak mengembangkan potensi mereka dalam aspek komunikasi, pembelajaran, tingkah laku, kemahiran sosial dan kehidupan harian.

Kanak-kanak autistik dari Persatuan Inisiatif Sokongan Autisme Nouri Berhad (Insani) mengadakan persembahan dalam suatu majlis di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Mac 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELAMGORKINI

Ibu bapa perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih seperti pakar perkembangan kanak-kanak, pegawai Bahagian Pendidikan Khas, guru pendidikan khas dan ahli terapi yang bertauliah.

Keputusan berkaitan pendidikan dan intervensi hendaklah dibuat berdasarkan bukti serta keperluan sebenar anak, bukannya dipengaruhi oleh dakwaan atau rawatan yang tidak mempunyai asas saintifik.

Setiap ibu bapa pastinya mengimpikan masa depan yang terbaik untuk anak mereka. Namun, apabila anak dikenal pasti mempunyai ciri-ciri autisme atau tergolong dalam kumpulan neurodivergen, pelbagai persoalan mula timbul.

Mampukah anak ini belajar di sekolah, berdikari dan membina kerjaya pada masa hadapan?

Hakikatnya, ramai ibu bapa masih kurang memahami bahawa sistem pendidikan negara bukan sekadar menyediakan sokongan pendidikan khas, malah telah menyediakan laluan yang terancang bagi membantu murid autisme dan neurodivergen mengembangkan potensi hingga ke alam pekerjaan.

Kanak-kanak autistik dari Persatuan Inisiatif Sokongan Autisme Nouri Berhad (Insani) mengadakan persembahan dalam suatu majlis di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Mac 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELAMGORKINI

Istilah neurodivergen merujuk kepada individu yang mempunyai perkembangan dan fungsi otak yang berbeza daripada kebiasaan.

Perbezaan ini mempengaruhi cara mereka mereka memproses maklumat, belajar, berkomunikasi, memberi tumpuan mahupun berinteraksi dengan persekitaran.

Autisme merupakan salah satu keadaan dalam spektrum neurodivergen, selain Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), disleksia, dispraksia dan beberapa keadaan perkembangan neurologi yang lain. Perbezaan neurologi ini bukan kekurangan, sebaliknya mencerminkan kepelbagaian cara manusia berfikir, belajar dan menyelesaikan masalah.

Justeru, pendekatan pendidikan telah beralih daripada mencari kelemahan kepada memupuk kekuatan unik setiap individu.

Di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh pendidikan inklusif dengan memberi penekanan komprehensif kepada pengesanan awal, intervensi berasaskan keperluan murid serta pembangunan potensi individu autisme dan neurodivergen.

Pendekatan ini memastikan setiap Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) memperoleh sokongan yang sesuai sejak usia awal agar mereka dapat mengikuti pembelajaran, membina keyakinan diri dan merancang masa depan yang lebih jelas.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Bahagian Pendidikan Khas melaksanakan pelbagai inisiatif termasuklah Program Pengesanan Perkembangan dan Intervensi Murid Prasekolah (ProsPIM), Program PROSPER serta latihan pembangunan profesional guru.

Pelajar Darjah 1 memulakan Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2026 di SK Putrajaya Presint 18 (1), Putrajaya pada 12 Januari 2026. Foto BERNAMA

Namun, masyarakat perlu faham bahawa guru bukan bertanggungjawab membuat diagnosis perubatan. Peranan utama mereka adalah sebagai 'mata dan telinga' yang mengesan petunjuk awal, merekod pemerhatian secara sistematik dan merujuk murid kepada pakar atau agensi berkaitan supaya proses intervensi dapat dimulakan seawal mungkin.

Selepas seseorang kanak-kanak disahkan sebagai autisme atau individu neurodivergen, peranan ibu bapa menjadi faktor yang paling menentukan keberkesanan intervensi. Langkah pertama adalah dengan menerima hakikat secara positif.

Diagnosis perubatan bukanlah noktah penamat kepada masa depan anak, sebaliknya ia adalah garis permulaan untuk merancang pendidikan, latihan kemahiran, dan sokongan emosi yang bersesuaian.

Semakin cepat ibu bapa menerima realiti ini dan bekerjasama dengan pihak sekolah, semakin luaslah peluang anak untuk menguasai kemahiran sosial serta pengurusan diri.

Rumah adalah institusi intervensi pertama dan ibu bapa merupakan rakan strategik paling hampir dengan anak.

Segala strategi yang diperkenalkan oleh guru dan ahli terapi seperti penggunaan jadual visual, latihan komunikasi, pembentukan rutin harian, perlu diteruskan secara konsisten dirumah.

Kanak-kanak istimewa bersama ibu bapa mengikuti sesi terapi bermain berkumpulan (i-Wheel) yang berlangsung di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam. Foto Facebook YANIS

Sinergi dan komunikasi dua hala yang berterusan antara ibu bapa, guru pendidikan khas, dan kumpulan pakar pelbagai disiplin (multidisiplinar) amat kritikal bagi memastikan program intervensi sentiasa dinamik serta selari dengan perkembangan semasa anak.

Rancangan Pendidikan Individu (RPI) berfungsi sebagai nadi kepada keberkesanan intervensi yang sistematik ini. RPI bukan sekadar dokumen pentadbiran, tetapi pelan pembelajaran yang dibentuk secara kolaboratif berasaskan kekuatan dan cabaran spesifik murid.

Melalui RPI, strategi pengajaran dan sasaran pencapaian sentiasa disemak serta diubah suai secara berkala, memastikan tiada anak autisme yang tercicir

Jelas bahawa pendekatan pendidikan khas hari ini juga telah berubah. Fokus tidak lagi tertumpu kepada apa yang 'tidak boleh' dilakukan oleh murid, tetapi kepada usaha mengenal pasti kekuatan unik setiap individu.

Ramai murid autisme dan neurodivergen dikurniakan kelebihan luar biasa seperti daya ingatan visual yang tajam, ketelitian yang tinggi terhadap perincian, kreativiti, serta keupayaan fokus mendalam (hyperfocus) dalam bidang teknikal tertentu. Potensi tersembunyi inilah yang perlu dikenal pasti dan dipupuk sejak awal persekolahan lagi.

Bagi memastikan potensi ini tidak tersasar, KPM turut menggunakan Instrumen Psikometrik Pendidikan Khas (IPPK) yang merangkumi Inventori Minat Kerjaya, Inventori Kecerdasan Pelbagai dan Inventori Kecerdasan Emosi Kendiri.

Data ni membolehkan guru dan ibu bapa membaca kecenderungan dan bakat semula jadi MBPK dengan lebih tepat, sekali gus membolehkan laluan pendidikan, latihan kemahiran dan kerjaya dirancang secara lebih realistik serta bersesuaian dengan kekuatan individu.

Apabila pengesanan awal, intervensi yang sistematik, kerjasama ibu bapa dan guru serta mengenal pasti potensi dilaksanakan secara bersepadu, fokus pendidikan tidak lagi sekadar memastikan murid berjaya di bilik darjah.

Lebih daripada itu, sekolah bertindak sebagai inkubator kehidupan yang memanusiakan potensi anak-anak neurodivergen. dengan ekosistem sokongan yang betul, anak autisme bukan sahaja mampu hidup berdikari, malah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah untuk menyumbang bakti demi kemakmuran negara.

Profesor Dr. Norsuhaily Abu Bakar merupakan Ketua JK Bertindak Pendidikan dan Kesejahteraan Kanak-Kanak, Kluster Pembangunan Insan, Pertubuhan Akademi Profesor Malaysia (APM). Beliau adalah Profesor di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kepakaran dalam bidang Psikologi dan Pendidikan.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.