KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang membuka tirainya hari ini menjadi platform penting bagi Malaysia memperkukuh landskap kawal selia digital negara, berikutan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) serta kebimbangan berkaitan keselamatan dalam talian.
Persidangan dua hari anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bertemakan “Membentuk Era Digital Seterusnya: Kawal Selia, Daya Tahan dan Kepercayaan”.
Majlis perasmian persidangan itu dijadualkan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil pagi ini, selepas ucaptama oleh Ahli Suruhanjaya SKMM Derek John Fernandez.
Persidangan itu bermula dengan dialog peringkat tinggi bertajuk “Online Safety by Design: Platform Accountability and Child Protection in an Age of User Vulnerability,” yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) SKMM Eneng Faridah Iskandar.
Sesi berkenaan akan membincangkan kaedah mewujudkan platform digital yang lebih selamat serta memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dan pengguna daripada kumpulan rentan.
Sesi berkenaan menampilkan panel termasuk Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki, Ketua Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia Saskia Blume dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke.
Acara kemudian diteruskan dengan sesi bertajuk “Sovereign Data, Empowered Citizens: Building Trust, Privacy and Consumer Rights in Malaysia's Digital Future," yang mengupas mengenai isu berkaitan kedaulatan data serta perlindungan privasi ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi digital.
Sesi itu dikendalikan oleh Chief National Sovereign AI Cloud MCMC Che Juhan Che Mat, dengan menampilkan tokoh industri seperti Maxis Head of Cloud Solutions, Enterprise Solutions Chin Kok Loon, Ketua Pegawai Kawal Selia T&G Digital Foo Yeong Jin dan Ketua Pegawai Keselamatan Ericsson Dr Connie McIntosh.
Untuk sesi petang pula akan membincangkan keseimbangan antara kawal selia berkesan dan inovasi ekonomi menerusi dialog bertajuk “Regulatory Aspiration vs. Economic Reality: Contours of Policy Successes and Shortfalls, yang menampilkan pakar daripada Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia serta PEMANDU Associates.
Hari pertama persidangan berakhir dengan sesi bertajuk "AI and the Humanities: Its Vulnerabilities, Capabilities and Interdisciplinary Landscape," yang mengupas kesan AI terhadap masyarakat serta keperluan pendekatan pelbagai disiplin dalam menguruskan perkembangannya.
Sesi itu menghimpunkan pakar daripada Sekretariat ASEAN, PwC Southeast Asia Consulting, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), CelcomDigi dan CyberSecurity Malaysia.
Pada hari kedua, persidangan akan menumpukan kepada teknologi masa depan.
Sesi bertajuk "Quantum Technology and Communication Architerure and Innovation, a forward approach", akan menampilkan pakar termasuk Ketua Jualan IBM Quantum (Asia Pasifik dan Jepun) Rizwan Hussain serta tokoh akademik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) dan UKM.
Topik utama lain termasuk "Regulating the Robotics Revolution: A cross-sector imperative," "Digital Dependency and Human Autonomy: Mental wellbeing, knowledge integrity and boundaries in an always-on society," dan "Innovation Driven Autonomous Ecosystems and Industry Transformation."
IRC 2026, edisi ketiga sejak persidangan ini diperkenalkan pada 2024, mencerminkan peralihan Malaysia ke arah pelaksanaan rangka kerja dasar sendiri termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025, yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan tahun ini.
Persidangan itu disertai peserta dari lebih tujuh negara itu, termasuk pengawal selia, penggubal dasar serta pemain industri, dan majlis penutupan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, esok.







