SHAH ALAM, 20 JULAI: Orang ramai dijemput memeriahkan Festival Melon & Selangor Agrogreen 2026 yang akan berlangsung di Pusat Teknologi Melon Selangor, Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat dari 24 hingga 26 Julai ini.
Jabatan Pertanian Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan festival yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam itu menjadi platform memperkenalkan teknologi, inovasi serta potensi industri pertanian kepada masyarakat.
"Festival ini menghimpunkan pelbagai pengisian termasuk pameran pertanian, jualan melon Selangor, jualan input pertanian dan produk industri kecil dan sederhana (IKS), selain taklimat pertanian serta demonstrasi teknologi yang memberi manfaat kepada petani, usahawan dan orang ramai," menurut hantaran itu.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan, sekali gus menjadikan festival itu destinasi sesuai untuk seisi keluarga mendapatkan ilmu, menikmati hasil pertanian tempatan serta mendekati sektor agromakanan.
Menurut hantaran itu lagi, penganjuran festival berkenaan mencerminkan komitmen Jabatan Pertanian Negeri Selangor dalam memperkukuh pembangunan sektor pertanian menerusi perkongsian teknologi, pengembangan pertanian dan promosi produk tempatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan industri agromakanan.
Orang ramai khususnya warga Selangor dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi memeriahkan Festival Melon & Selangor Agrogreen 2026 serta menikmati pelbagai pengisian yang disediakan sepanjang program berlangsung.







