Selangor berjaya hasilkan melon lembut, orang ramai dipelawa cadang nama sesuai

28 Feb 2026, 2:48 PM

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan Negeri terus melakar pencapaian dalam sektor agromakanan apabila berjaya menghasilkan melon jenis lembut menerusi inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata penghasilan varieti baharu itu merupakan langkah strategik untuk memodenkan industri pertanian negeri sekali gus meningkatkan nilai komersial hasil tanaman tempatan dan daya saing di pasaran.

Menurutnya, sebelum ini Selangor memperkenalkan dua jenis melon premium iaitu MeloSel rangup dan Sweet Selangor ketika pelancaran awal pada 2022 oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Bagaimanapun, jelas beliau, penghasilan benih berkualiti tinggi bagi varieti berkenaan memerlukan tempoh kajian hampir dua tahun sebelum dimuktamadkan.

“Saya berpandangan untuk tampil unik, kita perlu ada satu lagi melon jenis lembut yang dibangunkan secara eksklusif untuk Selangor. Alhamdulillah, benih melon lembut itu kini berjaya disiapkan hasil penyelidikan,” katanya.

Bagaimanapun melon lembut premium terbaharu itu masih belum mempunyai nama rasmi.

Sehubungan itu, Izham mempelawa rakyat Selangor mengemukakan cadangan nama yang sesuai menerusi satu peraduan khas.

“Saya mohon kerjasama rakan dan seluruh warga Selangor untuk beri cadangan nama sesuai untuk melon terbaru ini.

"Peraduan bermula hari ini sehingga penghujung Syawal dan cadangan boleh dihantar menerusi ruangan komen atau mesej peribadi (inbox) di Facebook rasmi saya. Selamat mencuba!,” katanya menerusi video di Facebook.

Sebelum ini, pengenalan melon premium MeloSel berjaya meningkatkan pendapatan petani apabila dijual sekitar RM15 sekilogram berbanding melon biasa sekitar RM4 sekilogram.

Namun, varieti tersebut masih sukar diperoleh di pasaran berikutan tahap produktiviti yang terhad.

Ketika ini tanaman melon premium Selangor diusahakan secara komersial di Kampung Endah, Kuala Langat melibatkan kira-kira 10,000 pokok dan disasarkan meningkat kepada 30,000 pokok bagi memenuhi permintaan domestik.