SHAH ALAM, 15 JULAI: Jabatan Pertanian Selangor akan menganjurkan Festival Melon dan Selangor Agrogreen 2026 selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai di Pusat Teknologi Melon Selangor, Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat.
Menerusi kenyataan di Facebook, agensi itu memaklumkan festival berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai pengisian berasaskan pertanian, agropelancongan dan pendidikan.
Menurutnya, program berkenaan menghimpunkan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan penyertaan masyarakat, khususnya golongan muda serta keluarga, di samping memperkenalkan sektor pertanian moden kepada orang ramai.
“Antara pengisian utama ialah Agriventure Explore Hunt serta Pertandingan Agri Art: Mewarna, yang kini dibuka untuk pendaftaran kepada orang ramai.
“Pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif, melihat pameran teknologi pertanian, mendapatkan produk agro tempatan serta menikmati pengalaman di Pusat Teknologi Melon Selangor,” katanya.
Orang ramai, khususnya warga Selangor, dijemput hadir memeriahkan festival berkenaan yang bertujuan mempromosikan sektor pertanian moden, memperkukuh industri agro negeri serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sekuriti makanan.
Maklumat lanjut dan pendaftaran bagi aktiviti yang dipertandingkan boleh didapati menerusi Facebook rasmi Jabatan Pertanian Negeri Selangor.
Sebelum ini, EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata Selangor bakal memperkenalkan varieti baharu Mas Melon yang mempunyai rasa lebih manis dan berpotensi menjadi produk pertanian bernilai tinggi di negeri ini.
Menurut Izham varieti tersebut kini melalui projek percubaan di Pusat Pertanian Kampung Endah, Kuala Langat sebelum diperluaskan ke pasaran tempatan.
Menurutnya, pengenalan Mas Melon dilihat mampu membuka peluang pasaran baharu selain membantu meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.
Jabatan Pertanian Selangor memaklumkan, projek tanaman melon itu diusahakan Koperasi Melon Selangor Berhad dengan enam varieti utama.
Enam varieti itu ialah Masmelon, Melosel, Rockmelon, Golden Kopmess, Golden Melon dan Golden Emerald.







