KUALA LANGAT, 25 JULAI: Selangor menyasarkan menjadi pengeluar melon terbesar negara menerusi peluasan kawasan penanaman serta penerapan teknologi moden bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran buah bernilai tinggi itu.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata Pusat Teknologi Melon Selangor yang dirasmikan hari ini bakal menjadi hab penyelidikan dan pembangunan bagi memperkukuh ekosistem industri melon negeri.
Menurutnya, pembangunan industri melon Selangor dilaksanakan secara menyeluruh daripada penyelidikan benih hingga pengeluaran bagi memastikan rantaian industri mampan serta menghasilkan produk berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran.
“Melon memang menjadi tumpuan kita sejak beberapa tahun lalu. Sebab itu kita buat penyelidikan benih melon kerana kita nampak potensinya sebagai makanan harian yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.
"Penyelidikan benih ini mengambil masa kira-kira dua tahun dengan kerjasama sebuah syarikat penyelidik benih sebelum kita memperoleh benih yang ada pada hari ini," katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan pelancaran Pusat Teknologi Melon Selangor sempena Festival Melon dan Agro Green Selangor 2026 yang berlangsung di sini, hari ini.
Menurutnya, Selangor kini mempunyai dua varieti melon iaitu Melosel dan Masmelon yang mencatat permintaan tinggi sehingga melebihi kapasiti pengeluaran semasa terutama di Lembah Klang.
Justeru, Kerajaan Negeri akan terus mempergiat penyelidikan bagi menambah varieti melon yang bersesuaian dengan ekologi agro di Selangor serta memenuhi permintaan pasaran.
“Alhamdulillah, bila kita laksana, berjaya dan hari ni sudah menjadi sebutan dan rebutan dalam kalangan pelanggan dan seperti diketahui kuasa membeli di Lembah Klang ini sangat tinggi. Jadi kalau kita hasilkan produk yang berkualiti, nak pasarkan pun tiada masalah.
“Kita perlu tambah pengeluaran kerana pasaran tempatan pun masih belum mencukupi. Sebab itu kita akan perluaskan lagi pusat-pusat penanaman menggunakan teknologi ini," katanya.
Izham berkata teknologi seperti rumah pelindung hujan, sistem fertigasi dan kaedah pertanian moden membolehkan tanaman melon diusahakan secara lebih produktif walaupun berdepan cabaran kos tanah yang tinggi di Selangor.
"Selangor negeri maju, yang tanah mahal, kos pun mahal. Kalau tidak diuruskan dengan teratur dan betul, ia tidak boleh membawa keuntungan yang sepatutnya.
Katanya, Kerajaan Negeri akan memperluas kawasan penanaman termasuk melalui penglibatan kebun komuniti selain memperkasa penggunaan teknologi seperti sistem fertigasi dan rumah pelindung hujan.
"Kita akan tingkatkan lagi dengan kebun komuniti. Kebun komuniti ni bawah pihak perkongsian tempatan ada banyak, ada beratus. Itu pun kita akan mula bagi bantuan dalam bentuk rain shelter (rumah pelindung hujan) ini dan teknologi sebab mereka pun akan menanam melon untuk dipasarkan," katanya.










