Kita lazimnya mengaitkan keganasan dengan membayangkan percikan darah, letusan tembakan dan tubuh yang rebah ditembusi peluru. Hakikatnya, ada keganasan yang tidak meninggalkan kesan fizikal.
Sebaliknya, diam-diam merobek jiwa bertahun-tahun lamanya. Luka seumpama itu sebenarnya kesan keganasan yang sukar dipulihkan.
Inilah yang dibawa pengarah teater, Fazleena Hishamuddin lewat pementasan Tarik Picu. Di matanya, persembahan seni bukan sekadar ruang hiburan tetapi medan merenung sisi dalam diri.
Beliau percaya pentas bukan sekadar wadah melakon cerita tetapi ruang menghidupkan persoalan yang disorok masyarakat. Justeru, beliau tidak melihat aspek keganasan dari sorotan fizikal semata-mata.
Tarik Picu mengangkat kisah kelangsungan hidup, impian, trauma dan pilihan. Meski bertema rompakan, naskhah itu tidak menjadikan wang satu-satunya hal yang boleh dicuri. Sebaliknya, ketenangan, keyakinan, harga diri dan masa depan seseorang boleh dirampas tanpa disedari.
Ada manusia yang tidak pernah mengacu pistol tetapi setiap hari membunuh harapan melalui kata-kata yang merendah-rendahkan.
Ada yang tidak pernah membidik senjata tetapi memanipulasi emosi hingga seseorang hilang keyakinan diri. Ada yang tidak pernah menumpahkan darah, namun membiarkan trauma diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya.
"Tidak semua peluru dilepaskan daripada sepucuk pistol. Ada peluru yang lahir daripada kata-kata, penghinaan dan manipulasi yang perlahan-lahan membunuh jiwa," kata Fazleena yang juga terkenal sebagai pelakon teater, penulis dan pengacara kepada Media Selangor.
Sememangnya, keganasan acap kali hadir dalam aneka wajah yang samar. Ia menyamar sebagai gurauan yang mengaibkan, hubungan toksik, tekanan sosial, buli siber, eksploitasi emosi, bahkan penipuan yang memanipulasi rasa percaya. Semuanya tanpa letusan tetapi membawa runtuhan besar di dalam diri seseorang.
Fazleena juga melihat Tarik Picu sebagai simbol pilihan. Bukan sekadar melepaskan peluru tetapi lambang setiap keputusan yang bakal menentukan hala kehidupan seseorang. Ada yang menyelamatkan, ada yang memusnahkan.
Justeru, persoalan sebenar bukanlah soal picu itu ditarik atau tidak tetapi apakah yang akan mati selepas peluru dilepaskan.

Ketika ramai menggambarkan keganasan melalui babak agresif, Fazleena memilih melembutkan sisi gelap manusia. Beliau percaya di sebalik kemarahan, ada kesedihan yang belum langsai. Di sebalik kekerasan, ada luka yang belum sempat sembuh.
Tarik Picu yang akan dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre antara 16 hingga 19 Julai bukan sekadar cerita rompakan tetapi kisah manusia yang berperang dengan dirinya sendiri.
Ada kehilangan masa kecil, ada kehilangan impian, ada kehilangan keberanian untuk mempercayai kehidupan. Barangkali, itulah rompakan paling tragis. Yang dicuri bukan harta tetapi harapan.
"Keganasan yang paling dahsyat bukanlah apabila tubuh dipenuhi luka tetapi apabila jiwa perlahan-lahan kehilangan sebab untuk terus percaya kepada kehidupan," kata Fazleena lagi.
Mungkin sebab itulah teater punya tempat dalam masyarakat. Saat penghuni dunia sibuk menatal skrin mengejar kandungan yang berlalu sekilas, teater mengajak manusia berhenti sejenak.
Di pentas, emosi tidak boleh dipercepat, kesedihan tidak boleh dilangkaui dan kemanusiaan tidak boleh dipadam dengan sentuhan jari. Segalanya langsung, dekat dan jujur.
Tarik Picu juga mengingatkan keganasan boleh berubah rupa, daripada manipulasi yang memenjara fikiran, trauma yang membelenggu masa depan hingga kata-kata yang membunuh perlahan-lahan.
Bukan semua mati akibat ditembak. Ada yang mati sedikit demi sedikit lantaran jiwanya telah lama menjadi mangsa keganasan yang tidak terlihat.
Begitulah peranan seni, bukan semestinya memberi jawapan. Hanya menghulur cermin agar khalayak berani melihat wajahnya sendiri.
Barangkali ada yang pulang dengan marah, ada pulang sarat persoalan, ada bergenang air mata. Namun, semuanya membawa kesedaran betapa manusia sedang bertarung dengan peperangan yang tidak nampak dek pandangan mata kasar.









