SHAH ALAM, 18 JULAI: Teater Muzikal Diraja Raja Lumu menjadi antara pengisian sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, selain meraikan ulang tahun ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya.
Persembahan itu diserikan dengan keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang berkenan menyaksikan pementasan tersebut di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Pementasan anjuran MBPJ itu mengangkat kisah Sultan Selangor pertama, Raja Lumu, sebagai usaha memartabatkan sejarah, warisan dan kebudayaan negeri menerusi seni persembahan.
Teater tersebut turut menjadi medium mengangkat perjuangan dan legasi pengasas Kesultanan Selangor kepada generasi muda menerusi pendekatan yang lebih kreatif serta dekat dengan masyarakat.
Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, MBPJ komited untuk terus memperkasa seni dan budaya sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan bandar yang mampan.
Katanya, seni bukan sahaja berfungsi sebagai medium hiburan, malah menjadi wahana pendidikan, perpaduan sosial, pembentukan sahsiah dan pemeliharaan identiti budaya.
Teater yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai itu menampilkan gabungan elemen teater, muzik, tarian dan budaya Melayu bagi menghidupkan perjalanan sejarah pengasasan Kesultanan Selangor.
Inisiatif itu juga diharap mampu menyemarakkan minat masyarakat terhadap sejarah tempatan di samping memperkukuh identiti budaya negeri.
Pementasan tersebut diterbitkan menerusi kerjasama kreatif Idham Hadi, Anwar Mohd Zulkifli, Ramzi Ramli dan Dr. Mohd Effendi Samsuddin.












