Walaupun dunia bergerak pantas ke hadapan dengan pelbagai kemajuan teknologi dan sosial, realiti yang dihadapi sebahagian wanita masih tidak banyak berubah.
Isu penindasan, stigma dan tekanan sosial terus wujud dalam pelbagai bentuk, sama ada dalam keluarga, masyarakat mahupun ruang awam.
Perkara inilah yang sering menjadi fokus dalam karya penggiat teater dan penulis, Fazleena Hishamuddin.
Baginya, seni bukan sekadar medium hiburan, sebaliknya ruang untuk mengangkat suara yang jarang didengar, khususnya pengalaman wanita yang sering dipinggirkan.
Sepanjang hampir dua dekad bergiat dalam dunia seni, beliau konsisten mengangkat kisah kehidupan wanita, terutama berkaitan emosi, hubungan domestik dan konflik yang sering dianggap kecil tetapi memberi kesan besar kepada kehidupan.
“Walaupun kita hidup tahun 2026, masih ada perempuan yang dirantai dan dihenyak oleh keluarga dan masyarakat.
"Karya seni mampu membuka ruang perbincangan tentang realiti yang sering dipendam oleh masyarakat,” katanya ketika program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor.
Wanita berumur 46 tahun itu menjelaskan keinginan untuk terus mengangkat suara wanita dalam karya lahir daripada rasa tanggungjawab terhadap pengalaman yang jarang diperkatakan secara terbuka.
“Saya rasa ini satu tanggungjawab. Kisah wanita harus lebih banyak dituliskan dan dipentaskan. Kalau bukan kita yang bercakap tentang diri kita sendiri, siapa lagi?” soalnya.
Meskipun tidak mempunyai latar pendidikan formal dalam bidang seni, namun minat yang berputik sejak di universiti membawanya terlibat secara aktif dalam dunia teater dan penulisan hampir dua dekad.
Sepanjang tempoh berkenaan, graduan dalam bidang psikologi kaunseling itu membina reputasi sebagai anak seni serba boleh yang menghasilkan karya merentasi pelbagai medium termasuk teater, penulisan dan muzik.
Antara pencapaian yang mencuri perhatian ialah apabila lirik ciptaannya, Pelukan Angkasa dinobatkan sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-36.
Walaupun terlibat dalam pelbagai cabang seni, penulis buku Seksi Ovari itu kekal konsisten menjadikan isu kehidupan domestik sebagai inti kepada karya-karyanya.
Beliau yang berasal dari Banting, Selangor sering menyentuh tentang hubungan suami isteri, dinamika adik-beradik serta tekanan emosi wanita yang jarang diberikan perhatian sewajarnya.
“Kalau perkara kecil dalam rumah tangga kita tak selamatkan, ia akan jadi masalah besar di luar,” jelasnya.

Terus bersuara
Bagi Fazleena, memperjuangkan wanita dalam seni bukan sekadar soal simpati, tetapi berkait dengan ruang dan keadilan yang sepatutnya dinikmati secara setara.
Beliau percaya selagi stigma dan ketidakadilan masih wujud, selagi itu suara wanita perlu terus diketengahkan melalui pelbagai medium termasuk pentas teater, buku mahupun ruang kreatif lain.
“Kita bukan perlu dilindungi kerana lemah, tetapi kerana peluang dan suara kita selalu diperkecilkan,” ujarnya.
Namun mempertahankan suara itu bukan tanpa cabaran.
Dalam dunia seni yang sering dilihat popular dari luar, karyawan itu bersikap realistik terhadap kedudukan teater yang dianggap niche dan tidak mempunyai struktur bayaran yang jelas.
“Tak semua benda boleh dibeli dengan duit. Ada kecintaan dalam diri yang bukan tentang bayaran. Kita nak berada dalam bilik latihan itu, kita nak rasa hidup,” katanya.
Anak kedua daripada lima beradik itu tetap memastikan sekurang-kurangnya satu produksi teater dipentaskan setiap tahun.
Menurutnya, usaha itu bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya bagi memastikan kecintaan terhadap seni terus hidup.
Di sebalik keteguhan itu, pengalaman peribadi turut membentuk cara Fazleena melihat perjuangan wanita dengan lebih mendalam.
Selepas bergelar ibu, beliau mengakui wujud pertikaian dalaman yang sering tidak terlihat di mata umum.
“Keletihan itu bukan fizikal sahaja. Ia keletihan emosi. Bila sudah ada keluarga dan anak, ada suara dalam diri bertanya, apa sebenarnya aku buat selama ini?”
Namun fasa tersebut tidak melemahkan dirinya. Sebaliknya, pengalaman itu memperkayakan penulisannya menerusi karya Diam Dalam Gempita.
Karya tersebut lahir daripada pengalaman beliau membesarkan anak dalam era pascapandemik, termasuk merakam keresahan menyusu, tekanan pascapartum dan kebimbangan membesarkan anak ketika dunia berdepan krisis kesihatan.
“Orang selalu fikir perempuan lepas beranak berhenti menulis tapi pada saya, itu peluang untuk menuangkan keresahan dan kecamuk fikiran,” katanya.
Bagi Fazleena, seni akhirnya menjadi ruang untuk terus bersuara dan merakam realiti yang sering terpinggir.
“Selagi peluang dan suara wanita diperkecilkan, selagi itu kita kena bercakap,” tegasnya.








